Hanya 30% di pejabat, bekerja dari rumah mulai esok hingga tamat PKPB


Semua aktiviti secara bersemuka tidak dibenarkan dan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya manakala dokumen rahsia rasmi tidak dibenarkan dibawa keluar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

SEMUA ketua jabatan perkhidmatan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah perlu memastikan kehadiran pegawai ke pejabat hanya pada kadar maksimum 30% bagi memastikan perkhidmatan asas berterusan, mulai esok sehingga tamat penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata arahan kehadiran bertugas itu adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan penting (essential services).

Langkah itu diambil bagi mengukuhkan usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di kawasan terbabit. 

“Bagi maksud ini, semua ketua jabatan adalah diarah supaya memastikan pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa dijadualkan bekerja dari rumah (BDR), sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat dioptimumkan pada kadar minimum semasa tempoh PKPB dikuatkuasakan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketetapan dalam Surat Edaran JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (2) bertarikh 17 Mac 2020, dan ketetapan dalam Surat Edaran JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 Mei 2020 masih terpakai.

Khairul Adib berkata semua aktiviti secara bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya manakala dokumen rahsia rasmi adalah tidak dibenarkan untuk dibawa keluar.

“Bagaimanapun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip BDR untuk memberi kebenaran membawa keluar dari pejabat dokumen rahsia rasmi termasuk salinan cetak (hardcopy) atau salinan lembut (softcopy) berpandukan Garis Panduan Membawa Rahsia Rasmi Keluar Dari Pejabat Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau mengingatkan ketua jabatan agar memastikan pematuhan sepenuhnya semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Arahan ini juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB sehingga tamat tempoh PKPB, tertakluk kepada mana-mana arahan yang akan diumumkan kerajaan,” katanya. – Bernama, 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen