Muhyiddin akan rombak Kabinet, kata laporan 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan merombak jemaah menterinya untuk mendapatkan sokongan daripada Umno yang mengugut untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan merombak jemaah menterinya untuk mendapatkan sokongan Umno yang mengugut untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional, lapor Mingguan Malaysia.

Rombakan Kabinet itu dilaporkan adalah “tawaran akhir” Muhyiddin kepada Umno untuk terus menyokong kerajaan pimpinannya.

“Pengumuman berhubung rombakan Kabinet baharu itu akan dibuat esok,” kata laporan itu, yang memetik sumber yang tidak dinamakan.

Rombakan itu melibatkan pelantikan dua timbalan perdana menteri, seorang dari Umno dan seorang dari PAS, serta lebih ramai menteri dalam kalangan ahli Parlimen Umno termasuk yang bakal dilantik senator.

“Itu Umno mahu dan Muh­yiddin perlu ikut sebagai tawaran akhir bagi memastikan Umno tidak menarik kerjasama politik dengan PN,” lapor Utusan, memetik sumbernya.

Majoriti tipis yang ada pada Muhyiddin di Dewan Rakyat jadi perhatian sekali lagi selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk mempersembahkan bahawa kerajaan itu telah jatuh.

Anwar mempersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beliau ada sokongan lebih 120 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut Anwar tidak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama sebaliknya hanya jumlah mereka yang menyokongnya.

Yang di-Pertuan Agong juga pada hari sama beberapa jam kemudian menerima menghadap Tengku Razaleigh Hamzah. Pegawai kepada Ahli Parlimen Gua Musang kemudian menjelaskan Tengku Razaleigh dipanggil menghadap untuk memberikan pandangannya mengenai keadaan politik semasa.

Menurut Mingguan Malaysia, isu pengagihan kerusi dan jawatan dalam Kabinet selama ini jadi “duri dalam daging” hubungan Umno dan Muhyiddin.

Seawal Mac, selepas Muhyiddin mengumumkan Kabinetnya, beberapa pemimpin Umno meluahkan kecewa terhadap pengagihan jawatan dalam Jemaah Menteri, termasuk menyeru agar Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya semula.

Mereka kecewa kerana portfolio kementerian yang diberikan kepada Umno tidak membantu parti itu untuk mendekati rakyat sehingga dikhuatiri boleh menjejaskan kedudukan Umno dalam peta politik Malaysia.

Biro Politik Umno yang bermesyuarat pada Selasa lalu mengumumkan parti itu menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan dan keluar dari kerajaan, melainkan Perikatan bersetuju dengan syarat baharu.

Syarat baharu kerjasama politik untuk sokongan Umno itu pula perlu dimuktamadkan segera secara bertulis, umum Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad juga mengumumkan mesyuarat itu bersetuju untuk mencadangkan Muafakat didaftarkan segera sebagai gabungan politik.

Muafakat Nasional juga dilapor akan bermesyuarat esok, sementara cadangan Biro Politik Umno akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Selasa. – 18 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen