Anwar dakwa ada sokongan 120 Ahli Parlimen


Chan Kok Leong Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan 120 ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Oktober, 2020.

PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan 120 ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional.

Sokongan itu sudah beliau persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semasa diterima menghadap di Istana Negara, pagi tadi, katanya.

“Sebagaimana yang saya janjikan pada sidang akhbar 23 September lalu telah saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokong saya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya, dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar dalam satu sidang media pada 23 September berkata beliau sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Presiden PKR tiba di Istana Negara pada jam 10.25 pagi dan keluar sekitar jam 11 pagi. 

Menurut Anwar, dokumen yang beliau serahkan itu berupa surat akuan sumpah dan pengesahan ketua parti.

“Tetapi oleh kerana Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti maka munasabah untuk kita memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan,” katanya, menjawab soalan wartawan.

Istana Negara dalam satu kenyataan yang menyusul sidang media itu bagaimana menyebut Anwar telah mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. 

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Presiden PKR Anwar Ibrahim bertemu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara selama 30 minit pagi tadi. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2020.

Dalam sidang medianya, Anwar tidak menyebut atau mendedahkan ahli Parlimen atau kumpulan ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Menjawab soalan apakah beliau membuat perjanjian dengan mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah, Anwar menegaskan beliau tidak berdendam pada sesiapa dan komited pada agenda reformasi.

“Ini merupakan kerajaan inklusif. Saya tiada dendam dengan sesiapa. 

“Keduanya, saya telah berulang kali menegaskan kita komited terhadap reformasi institusi dan kehakiman.

“Apa yang boleh saya tegaskan, saya tidak mempunyai dendam. Tetapi mereka harus menerima dan menjalani proses keadilan dengan sewajarnya,” katanya.

Anwar juga enggan mengesahkan apakah sokongan yang diterimanya itu termasuk daripada ahli Parlimen yang bersama Dr Mahathir Mohamad.

“Senarai itu akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Dalam kenyataannya yang dibaca kepada media, Anwar meminta rakyat dan ahli politik supaya bersabar. 

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan negara,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada rakyat yang bersabar, berkorban dan berdoa untuknya.

“Kini bukanlah masa untuk merayakan kemenangan sesiapa atau menangisi kekalahan sesiapa. Tidak ada kemenangan atau kekalahan kepada sesiapa pun hari ini. 

“Kemenangan sebenarnya ialah apabila kita berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, makmur, adil dan harmoni untuk seluruh rakyatnya,” katanya. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen