Bubar saja Parlimen, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Mac, 2020.

KERAJAAN baharu pimpinan Muhyiddin Yassin berdepan kemelut untuk runtuh selepas beberapa pemimpin Umno meluahkan kecewa terhadap pengagihan jawatan dalam Jemaah Menteri, termasuk menyeru agar Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya semula.

Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat hari ini dengan agenda antara lain membincangkan pentadbiran Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin sebagai perdana menteri serta peranan Umno dalam kabinet.

Ahli Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman menganggap tindakan Muhyiddin menamakan Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin paling kanan dalam kabinet bertujuan untuk mengukuhkan Bersatu, sedangkan Bersatu dan Umno adalah rakan kongsi dalam kerajaan.

“Masing-masing (ahli Majlis Tertinggi) beri pandangan tapi secara umumnya semua ahli MT merasakan kena buat sesuatu untuk pastikan Umno boleh bangkit semula dan gagah seperti sebelum ini, semasa Muafakat Nasional yang diterima oleh rakyat.

“Kalau bubar Parlimen pun bagus juga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang tadi.

Tajuddin juga melihat menteri yang dilantik dalam kalangan pemimpin Umno tidak membantu parti itu untuk mendekati rakyat.

“Ini isyarat untuk yang tidak bagus. Umno tidak berapa selesa melihat perkara itu. Bagi saya itu sebagai penerusan agenda Bersatu dan mungkin lebih daripada itu,” katanya.

Jelas beliau, pengagihan jawatan menteri tidak seimbang dan boleh menjejaskan kedudukan Umno dalam peta politik Malaysia.

“Kita tengok jawatan yang diberikan kepada Umno pun jawatan yang tidak boleh membantu rakyat. Kementerian pertanian, kementerian pembangunan luar bandar, Bersatu pegang.

“Macam Kementerian Pertahanan jaga keselamatan dan apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung-kampung yang melibatkan petani dan nelayan,” kata ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Beliau turut mencadangkan agar kedudukan itu diteliti semula oleh Umno.

“Saya ingat perlu kita lihat dan tidak boleh hanya menerima apa yang telah diberikan kepada kita,” katanya.

Tajuddin menyertai bantahan dari Umno terhadap barisan Jemaah Menteri lantikan Muhyiddin, yang mengangkat sumpah minggu ini, yang sejak kelmarin disuarakan oleh beberapa ahli Parlimen parti itu.

Antara yang bersuara sebelum ini ialah bekas menteri Azalina Othman Said (Pengerang) yang mempersoalkan komposisi lantikan yang tidak seimbang dengan kekuatan parti dalam pembentukan kerajaan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor pula mempertikaikan suara Orang Asli yang diketepikan, sementara Ahli Parlimen Kinabatangan mempersoalkan tentang tiadanya menteri dari Sabah.

Semalam juga, veteran Umno Shahrir Samad berkata pelantikan menteri dalam barisan kabinet tidak mencerminkan semangat Perikatan Nasional secara keseluruhan.

“Keputusan dan tindakan secara en bloc oleh BN bersama PAS berjaya dilaksanakan sehingga perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Tetapi apabila tiba kepada peringkat perlantikan anggota jemaah menteri, seolah-olah sudah kehilangan pula semangat en bloc itu,” katanya.

Menurut Tajuddin, walaupun Umno dan Bersatu kini bekerjasama dalam sebuah gabungan, tetapi dua parti itu tetaplah dua parti yang berbeza.

“Dalam politik kita masih lagi merupakan pesaing kepada dia. Jadi ini melibatkan kepentingan politik antara dua parti ini dan mungkin juga berbeza.

“Bersatu nak kuatkan parti mereka dan ada agenda mereka sendiri, jadi Umno kena ada agenda sendiri. Kalau tidak kukuhkan parti kita, datang pilihan raya umum akan datang kita mungkin akan kalah,” katanya. – 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kartel gila kuasa, sanggup khianat rakyat. Penyatuan Ummah konon ...

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ali Karim · Ulasan