Pemulihan industri pelancongan tergendala kerana PKPB


Elill Easwaran

Pemulihan industri pelancongan dijangka hanya berlaku pada hujung 2021 kerana gelombang ketiga Covid-19 yang melanda negara sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

HARAPAN awal yang sektor pelancongan dalam negara dan hotel akan mula pulih menjelang tahun depan kini hancur berkecai disebabkan gelombang ketiga pandemik Covid-19, sebaliknya pemulihan hanya dijangka akan berlaku pada hujung 2021, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

CEO MAH Yap Lip Seng memberitahu The Malaysia Insight yang kadar penginapan kembali naik apabila kerajaan menguatkuasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Jun sehingga mencecah 42% pada cuti umum Hari Merdeka pada hujung Ogos lalu.

Selepas cuti Hari Merdeka, kadar penginapan keseluruhan jatuh kepada 39% dan pada tiga hari pertama bulan Oktober ia jatuh lagi kepada 35%-36% disebabkan lonjakan kes Covid-19 yang dilaporkan.

“Dengan peningkatan kes sejak 1 Oktober lalu, kami melihat tindak balas serta merta pasaran dengan destinasi popular melaporkan pembatalan tempahan bilik dan majlis.

“Pada mulanya, kami menjangkakan pemulihan industri pelancongan akan bermula pada pertengahan 2021, tetapi melihatkan keadaan sekarang, ia mungkin hanya berlaku pada hujung 2021,” kata Yap lagi.

Tambahnya, kadar penginapan dijangka terus turun kepada 10% dan 15% beberapa minggu lagi, apatah lagi dengan penguatkuasaan PKP bersyarat di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Ini boleh menyebabkan industri hotel rugi antara RM60 juta hingga RM100 juta, jika situasi tidak bertambah baik dalam masa terdekat.”

Jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencecah ratusan kes sejak 1 Oktober lalu dengan 260 kes dilaporkan. Sejak itu ia makin bertambah dan tertinggi pernah dicatatkan adalah 691 kes pada 6 Oktober. Jumlah kes baharu dilaporkan sejak minggu lepas sekitar 560 hingga 660 setiap hari.

Keseluruhannya, negara kini merekodkan 18,750 kes Covid-19, dan setakat semalam negara mempunyai 6,300 kes aktif.

Yap berkata sekiranya situasi tidak bertambah baik, industri perhotelan akan dipaksa melaksana pelbagai sekatan dan operasi seperti pernah dibuat ketika wabak mula meledak, kesemua ini akan melengahkan lagi proses pemulihan industri.

Pemilik dan pengendali hotel sudah mengeluarkan belanja besar untuk pematuhan SOP ketika ekonomi mula dibuka, dan kini berdepan cabaran besar disebabkan gelombang ketiga Covid-19 negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya berkata kadar tempahan sudah ketara berkurangan sejak hujung September.

“Sejak hujung September, kami menyedari yang tempahan untuk Oktober, November dan Disember mula menurun. Kami mengandaikan yang ini disebabkan morotarium pinjaman bank sudah berakhir.

“Tetapi sejak lonjakan kes Covid-19 berlaku pada awal Oktober, berlaku pembatalan tempahan kumpulan dan individu di seluruh Malaysia,” kata Emmy.

PKPB yang kini dikuatkuasa di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan membuatkan beliau meramalkan kadar penginapan hotel bajet akan terus merudum.

“Pemilik dan pengendali hotel bajet sudah merasai keperitan sebelum ini (ketika wabak mula meledak) dan sekarang kami meramalkan lebih ramai yang akan terpaksa gulung tikar dan buang pekerja mereka,” tambahnya.

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mendedahkan yang bantuan kerajaan untuk sektor pelancongan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sukar disalurkan disebabkan syarat ketat dikenakan bank.

Skim pembiayaan RM1 bilion itu sepatutnya disalurkan melalui 12 institusi perbankan tempatan tetapi setakat ini kurang daripada 1% permohonan diluluskan.

Pemain industri pelancongan perlu lebih kreatif menjana pendapatan jika mahu terus bertahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata hotel sepatutnya lebih kreatif dalam promosi mereka.

“Mereka patut tawarkan harga yang lebih fleksibel yang akan membantu pelancong tempatan dan meningkatkan keyakinan mereka. Ini patut diamalkan sehingga hujung tahun 2021.”

Beliau turut menggesa pemain industri bekerjasama dengan platform aktiviti dalam talian seperti Kofkino, yang membolehkan pengalaman pelancongan dalam talian ditawarkan kepada pengguna.

Uzaidi berkata platform itu boleh merangsang pelancongan virtual di Malaysia dan lebih ramai pemain industri boleh terlibat sebagai usaha menjana pendapatan mereka pada musim sukar sekarang.

“Lebih ramai pemain pelancongan perlu turut serta kerana disebabkan pandemik, kebanyakan tempat hanya ada dua pilihan, gulung tikar atau cari alternatif lain untuk membolehkan perniagaan mereka terus bertahan.”

Uzaidi juga mencadangkan Kementerian Pelancongan mengubah peraturan dikenakan ke atas pengendali pelancongan seperti keperluan mempunyai ruang pejabat sebagai syarat pembaharuan lesen.

“Syarikat pelancongan terpaksa membelanjakan sekitar RM5,000 sebulan untuk bayar sewa pejabat sedangkan kita boleh bekerja dari rumah.

“Kami juga mahu kementerian mempertimbangkan kebenaran pengendali pelancongan berkongsi ruang dengan pejabat pelancongan dalam satu bangunan, sekurang-kurangnya ini boleh mengurangkan beban sewa,” tambah Uzaidi lagi. – 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen