Sekarang bukan masa untuk pilihan raya, kata pengasas Muda


Zaim Ibrahim

Ketika wabak Covid-19 terus mengganas dalam negara, Parlimen Malaysia masih tunggang langgang, mencetuskan kemarahan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

SIAPA pun yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekarang harus diberi ruang untuk mentadbir negara, tidak kira sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, kata seorang pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Mutalib Uthman berkata sekarang bukan masanya untuk mempertaruhkan nyawa rakyat dengan mengadakan pilihan raya umum, ketika pandemik Covid-19 semakin menular.

“Kalau Anwar Ibrahim (presiden PKR) mempunyai nombor (majoriti), Muhyiddin Yassin (perdana menteri) jangan buat PRU. Kalau Muhyiddin ada nombor, Anwar Ibrahim jangan tekan untuk PRU.

“Kita tidak mahu PRU kerana ianya menelan kos perbelanjaan besar dan berdepan risiko meningkatkan penularan Covid-19.

“Sekarang sahaja gelombang ketiga Covid-19, jadi usah pertaruhkan nyawa rakyat,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelas beliau, semua ahli politik perlu menangguhkan terlebih dahulu sebarang percaturan politik buat masa ini sebaliknya memberi fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19.

Mutalib adalah antara 13 pengasas bersama Muda, yang dikemukakan untuk pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 17 September.

Desakan tiada pilihan raya umum sekarang adalah antara tiga tuntutan Muda yang digariskan dalam kempen Pause Malaysia, yang diumumkan pada 7 Oktober.

Melalui kempen itu, Muda juga mendesak “tempoh berdamai” antara semua parti politik dengan tidak berebut kuasa dan sebaliknya semua pihak duduk semeja mewujudkan kerjasama yang melampaui politik kepartian dengan kebajikan rakyat.

Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, beliau akan mengadap Yang Di Pertuan Agong hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Semasa mengumumkan kempen itu, pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sekarang masanya untuk semua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

“Rakyat Malaysia sudah penat. Penat dengan perebutan kuasa, penat dengan politik dua darjat, penat dengan politik yang tidak bermaruah,” katanya.

Tidak sampai 24 jam selepas Muda mengumumkan kempen Pause Malaysia, Anwar mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pause Malaysia jalan terus

Diminta menjelaskan status kempen yang dilancarkan minggu lalu, Mutalib berkata kempen Pause Malaysia masih diteruskan.

“Kita akan teruskan desakan yang kita buat. Yang perlu pause ialah percaturan politik oleh ahli politik, bukan rakyat. 

“Yang banyak bersusah payah rakyat, yang menderita adalah rakyat. Rakyat wajib terus mendesak kesemua ahli politik yang kemaruk kuasa ini (supaya) pause dalam apa jua langkah yang mereka ambil,” jelasnya.

Tindakan lanjut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini selepas Anwar Ibrahim menghadap Agong akan jadi tumpuan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Tambah Mutalib, pemimpin politik harus duduk semeja membincangkan terutamanya isu-isu yang berbangkit daripada pandemik Covid-19.

“Cari formula, (dapatkan) konsensus di mana kita dapat mengetepikan politik sementara waktu dan fokus pada bagaimana untuk menghadapi pandemik dan mentadbir negara ini.

“Jeda (pause), bukan berhenti terus. Selepas selesai isu pandemik, nak gaduh balik, silakan,” katanya.

“Tangguh untuk apa?”

Kempen Pause Malaysia bagaimanapun dikritik oleh pemimpin muda parti politik pembangkang, yang menganggap ia hanya menguntungkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Malah hanya beberapa jam selepas Muda mengumumkan kempennya, gerakan Forward Malaysia yang bertentangan juga dilancarkan oleh pemimpin Pemuda PKR.

Tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan Februari lalu mengheret negara ke kancah ketidakstabilan politik ketika rakyat bergadai nyawa melawan wabak Covid-19.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Naib Ketua Pemuda PKR Thiban Subramaniam berkata pihaknya juga menolak pilihan raya lebih awal sekarang di tengah pandemik Covid-19 namun menegaskan kerajaan yang ada sekarang tidak stabil dan tidak mampu menanganinya.

“Forward Malaysia diperlukan sebagai satu saluran untuk rakyat bersuara dan sampaikan kepada kerajaan. Kita tuntut supaya satu kerajaan yang stabil kerana itulah isu utama untuk membendung wabak Covid 19 dan pengukuhan semula ekonomi.

“Kami mahu kerajaan yang fokus isu rakyat bukan politik. Forward Malaysia bukan berpihak mana-mana parti politik walaupun ada ahli politik yang terlibat.

“Ini bukan bahan politik tetapi platform untuk rakyat suarakan pendapat,” katanya.

Thiban menafikan gerakan Forward Malaysia ada kaitan dengan usaha Anwar untuk jadi perdana menteri.

“Kita tidak akan berhenti mendesak walaupun Anwar Ibrahim jadi PM kerana Forwatd Malaysia adalah platform tanpa menyebelahi mana-mana parti politik,” katanya.

Jelas Thiban, gerakan Muda untuk gencatan politik sepatutnya dibuat lebih awal, ketika pandemik Covid-19 mula menular.

“Jadi tidak adalah tumbangnya beberapa kerajaan negeri dalam tempoh Covid-19,” katanya. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen