Anwar menghadap Agong Selasa depan


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berata beliau mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan sokongan yang kini dimilikinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini, selepas mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, minggu depan, untuk mempersembahkan sokongan yang kini dimilikinya.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, InshaAllah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya.

Anwar dalam satu sidang media pada 23 September berkata beliau sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Bukti sokongan itu sepatutnya dipersembahkan kepada Seri Paduka dalam majlis menghadap yang sudah diperkenankan pada 22 Ogos tetapi ditangguh selepas Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya.

Istana Negara dalam satu kenyataan pada 28 September memaklumkan Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana keracunan makanan.

Baginda kemudian menjalani rawatan susulan atas kecederaan sendi lutut dan buku lali yang dialami ketika bersukan, yang dikesan susulan pengimejan MRI selepas dimasukkan ke IJN.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang ke Istana Negara  pada Jumaat (3 Oktober) selepas menerima rawatan di IJN sejak 21 September.

Susulan pengumuman Anwar itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sejumlah ahli Parlimen parti itu tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Zahid juga berkata beliau tidak dapat menghalang sekiranya wakil rakyat itu menyokong Anwar.

Ia menunjukkan Muhyiddin tidak lagi menguasai Dewan Rakyat kerana selama ini hanya mendapat majoriti dengan kelebihan beberapa kerusi.

Dalam pengumumannya pada September, Anwar tidak menyatakan dengan tepat jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan jumlah sokongan itu kukuh dan meyakinkan untuk membolehkan kerajaan baharu dibentuk.

Dalam pada itu, Anwar yang juga presiden PKR berkata rakyat Malaysia akan kekal tenang.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu (31), PAS (18), STAR (1), GPS (18), Barisan Nasional (43), PBS (1) dan seorang bebas memunyai 113 daripada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.  

Sementara Anwar disokong oleh 91 ahli Parlimen terdiri daripada 38 PKR, 42 DAP dan 11 ahli Parlimen Amanah. 

Parti pejuang yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (5) dan Parti WarisanSabah yang diterajui Shafie Apdal (10 termasuk Upko), PSB (2) dan Muda (1) masih belum menyatakan pendirian berhubung siapa yang mereka sokong. – 8 Oktober, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen