Pause Malaysia untungkan Perikatan, kata pemimpin muda


Pemimpin muda pembangkang percaya kempen Pause Malaysia tidak akan halang parti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk terus berpolitik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

KEMPEN “Pause Malaysia” yang digerakkan parti Muda hanya akan memberi keuntungan kepada Perikatan Nasional (PN) tanpa disedari, kata pemimpin muda pembangkang.

Mereka juga percaya tuntutan dalam kempen tersebut tidak realistik kerana pembangkang pada masa ini berdepan dengan parti kerajaan dalam medan politik yang tidak sama rata.

Kempen itu menghalang usaha mengambil alih kerajaan serta usaha adakan pilihan raya umum dan pada masa sama mengadakan kerjasama tanpa mengira parti untuk menangani isu kebajikan rakyat.

Namun pemimpin pembangkang seperti Ketua Pemuda DAP Howard Lee percaya ia tidak akan menghalang parti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk terus berpolitik.

Katanya beliau berpandangan demikian kerana walaupun sudah mengambil alih Putrajaya semasa negara berdepan Covid-19, PN seterusnya tetap mengambil alih pentadbiran beberapa negeri.

Ia boleh berlaku jika kerajaan itu tidak mengkhianat, cekap menangani pandemik dan tidak menguatkuasa undang-undang berbeza untuk pemimpin dan rakyat, katanya.

“Cuma realiti politik yang dikuasai dan ditaja sang penguasa semasa bermaksud gagasan murni ini lebih kepada idealis dari realis, serta tidak berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Beliau juga melihat, PN tidak akan berhenti menyalahguna jentera kerajaan, membuat lantikan politik dalam syarikat kerajaan dan menyerang pembangkang.

“Adakah mereka akan letak jawatan dan gencat senjata? Sudah tentu tidak,” katanya yang menegaskan pembangkang tidak akan berhenti menentang kezaliman dan penindasan.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata PN tidak akan berhenti menyalahguna jentera kerajaan, membuat lantikan politik dalam syarikat kerajaan dan menyerang pembangkang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

Salah satu tuntutan kempen itu untuk menyekat sebarang usaha mengambil alih kerajaan dalam masa terdekat, yang dilihat satu usaha menghalang kemaraan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Walau tidak menamakan mana-mana ahli politik atau parti, kempen itu diangkat selepas Anwar mengumumkan memperolehi sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Kedua, Muda menuntut agar tiada pilihan raya umum diadakan sewaktu pandemik Covid-19 dan menggesa semua ahli Parlimen duduk semeja demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

Pengasas Muda, bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, masih belum menjawab kritikan ke atas kempen tersebut.

Sebahagian lagi pemimpin Muda bersetuju dengan semangat tuntutan tersebut, namun tetap melihat ia dilancarkan secara tergesa-gesa tanpa penjelasan yang wajar.

Seorang lagi pengasas, peguam Lim Wei Jiet mengakui kelemahan dan kekaburan kempen itu namun menurutnya ia tidak bermaksud Muda tidak lagi menuntut kebertanggungjawaban kerajaan.

Menurut Lim, kempen Muda untuk menyekat segala gerak atur politik belakang tabir kerana akan menjejaskan kestabilan politik dan pilihan raya umum pula akan menularkan lagi Covid-19.

Jelasnya tuntutan Muda terakhir untuk kerjasama tanpa mengira parti itu bukan satu perkara baharu.

Pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman masih belum menjawab kritikan ke atas kempen 'Pause Malaysia'.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

Namun Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman melihat gencatan senjata seperti itu tidak bermakna kerana Yang di-Pertuan Agong juga sudah berkenan menerima Anwar menghadap.

Malah, PN juga tidak menerima nasihat baginda supaya tiada lagi perebutan kuasa berlaku.

“Muda berhak ke atas pandangan mereka, tapi realitinya kalau Agong punya nasihat pun PN tidak dengar, apa lagi Muda?”

Baginda dalam titah di Parlimen pada Mei lalu menggesa ahil politik agar tidak mengheret negara ke kancah perebutan kuasa sekali lagi ketika pandemik Covid-19 terus menular.

Tanpa menghiraukan titah tersebut, PN dengan tamak tetap mengatur gerakan untuk menumbangkan beberapa kerajaan negeri walau Covid-19 belum dapat ditewaskan.

“Kerajaan baik persekutuan atau negeri patut fokus bantu rakyat sebab ramai terkesan akibat Covid-19. Itu nasihat Agong, tetapi PN tetapi buat gerakan politik untuk kekal berkuasa.

“Jadi bagaimana anda mahu halang pihak satu lagi buat perkara sama ke atas PN?”

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir pula berpendapat, gencatan senjata oleh Muda hanya akan menguntungkan PN kerana akan menyebabkan pertimbangan kuasa memihak kepada parti kerajaan.

“Ini tidak diperlukan, kita tidak perlu kempen ini sekarang. Kita perlu pastikan semua pihak bertanggungjawab, terutama yang memegang kuasa.

“Sebagai contoh, kerajaan amal pilih kasih (dalam isu kuarantin) ke atas individu tiba dari Sabh,” kata ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Beliau mempersoalkan tempoh kuarantin lebih singkat untuk ketibaan dari kawasan berisiko Sabah – sehingga ujian negatif diperolehi – berbanding tempoh lazim 14 hari.

Sebagai menjawab kempen Pause Malaysia itu, Akmal menggerakkan kempen Forward Malaysia untuk menyokong usaha Anwar mengambil alih kerajaan.

“Kita perlu bergerak ke hadapan. Rakyat mahu perubahan dari PN, mereka sudah diberi peluang.

“Jika kerajaan semasa tidak boleh urus keadaan, rakyat perlu mencari alternatif,” katanya.

Sehari selepas Muda melancarkan kempen Pause Malaysia, Anwar mengumumkan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia bagi mempersembahkan jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk mengambil alih kerajaan. – 10 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen