Keputusan Mahkamah Persekutuan langgar prinsip perbicaraan adil, kata peguam


Bede Hong

Keputusan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos iaitu Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah tidak mengikut perlembagaan. – Gambar EPA, 14 Disember, 2017.

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan mereka yang dituduh melakukan jenayah perlu memberi kenyataan bela diri sebelum perbicaraan, melanggar hak terhadap pengakuan tidak bersalah dan anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Panel lima orang hakim, diketuai Ketua Hakim Md Raus Sharif hari ini memutuskan seksyen Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memerlukan kenyataan bela diri sebelum perbicaraan tertuduh adalah sah.

Keputusan hari ini melanggar prinsip-prinsip asas jaminan perbicaraan yang adil, kata peguam.

“Dengan rasa hormat, saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini,” kata timbalan ketua pengerusi jawatankuasa undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Lim Wei Jit.

“Hak untuk hidup di bawah Perkara 5 (Perlembagaan) dan peruntukan kesamaan di bawah Perkara 8 - dibaca secara meluas dalam konteks prosiding jenayah - termasuk hak tertuduh bagi ‘equality of arms’ dan konsep tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” kata Wei Jiet.

Keputusan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos iaitu Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah tidak mengikut perlembagaan. Ia akan memberi kesan besar ke atas perbicaan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melibatkan banglonya yang dibeli pada 2015.

Wei Jiet berkata, pihak pendakwa boleh mengemukakan bukti lanjut di sepanjang perbicaraan di bawah Seksyen 51A (3) Kanun Prosedur Jenayah.

“Tetapi, di bawah Seksyen 62 Akta SPRM, ternyata tertuduh (Guan Eng) dihalang daripada berbuat demikian.

“Maka, pertarungan di antara pihak pendakwa dan pembelaan akan berada di lapangan yang tidak adil - melanggar prinsip ‘equality of arms’.

“Ini bukan sahaja tidak mengikut Perlembagaan, malah bertentangan dengan ciri sistem keadilan jenayah dan konvensyen antarabangsa,” kata Wei Jiet.

Sebelum ini mahkmah rayuan pada Ogos mendapati, peruntukan yang mewajibkan tertuduh mendedahkan kenyataan bela diri kepada pendakwa sebelum perbicaraan sebagai undang-undang yang melanggar hak individu untuk mendapat perbicaraan yang adil sepertimana jaminan Perlembagaan.

Dalam penghakimannya hari ini, Raus berkata, Seksyen 62 itu “mengikut perlembagaan” dan tidak melampaui peruntukan (ultra vires) Perkara 5(1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Raus berkata, beliau setuju dengan timbalan pendakwa raya (DPP) bahawa seseorang tertuduh boleh mengemukakan dokumen lain selepas perbicaraan bermula, mengikut Akta Keterangan. 

DPP Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 62 Akta SPRM tidak menghalang defendan dari mengemukakan bukti semasa perbicaraan.

Bagaimanapun, keputusan hari ini memberi makna bahawa mereka yang dituduh atas perbuatan jenayah kekal terdedah kepada pendakwaan kerana mereka secara sah dipaksa untuk memberi keterangan yang boleh menunjukkan mereka bersalah.

“Saya akan tunggu laporan penuh penghakiman sebelum mengulas,” kata peguam Dr Mahathir Mohamad, Hanif Khatri Abdulla ketika dihubungi.

“Tetapi sepintas lalu, keputusan ini akan menjejaskan prinsip utama dalam perundangan jenayah kita: Bahawa setiap tertuduh mempunyai hak mutlak untuk berdiam diri sepanjang pendakwaannya, sehingga pada akhir pendakwaan kes, apabila mahkamah membuat keputusan sekiranya pendakwaan mewujudkan kes prima facie bagi tertuduh untuk menjawab.”

“Kemudian barulah tertuduh harus membuat keputusan sama ada untuk kekal berdiam diri dan mengambil risiko disabitkan atau memberi bukti untuk pembelaan kesnya,” katanya.

Kes hari ini berpunca dari pendakwaan terhadap Guan Eng tahun lepas kerana mewarta semula tanah pertanian di Balik Pulau untuk dijadikan perumahan awam.

Tindakan itu dikatakan menguntungkan pemilik tanah, Magnificient Emblem, syarikat yang dikaitkan dengan bekas tuan tanah Guan Eng, Phang Li Koon.

Jika didapati bersalah, tuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda dari nilai rasuah, atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Beliau didakwa buat kali kedua pada 28 Julai lalu berhubung pembelian banglo RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, didakwa di bawah harga pasaran iaitu RM4.27, juga daripada Phang.

Jika sabit kesalahan, tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Phang, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi pertuduhan berkaitan penjualan banglo itu. – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen