Kes banglo: Guan Eng kini wajib beri kenyataan pembelaan sebelum bicara


Ketua Hakim Md Raus Sharif yang mengepalai lima orang panel hakim telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Ogos bahawa Seksyen 62 Akta SPRM tidak mengikut perlembagaan. – 14 Disember, 2017.

MAHKAMAH Persekutuan memutuskan, peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang mewajibkan kenyataan bela diri sebelum perbicaraan dijalankan ke atas tertuduh adalah sah.

Keputusan itu akan memberi kesan besar ke atas perbicaan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melibatkan banglonya.

Guan Eng akan diwajibkan untuk menyerahkan kenyataan bela diri sebelum perbicaraan dijalankan berhubung pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Panel lima orang hakim, diketuai Ketua Hakim Md Raus Sharif, membatalkan satu keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Ogos yang menyebut, Seksyen 62 Akta SPRM tidak mengikut perlembagaan.

Sebelum ini mahkmah rayuan mendapati, peruntukan yang mewajibkan tertuduh mendedahkan kenyataan bela diri kepada pendakwa sebelum perbicaraan sebagai undang-undang yang melanggar hak individu untuk mendapat perbicaraan yang adil sepertimana jaminan Perlembagaan.

Dalam penghakimannya, Raus berkata, Seksyen 62 itu “mengikut perlembagaan” dan tidak melampaui peruntukan (ultra vires) Perkara 5(1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengarahkan pengurusan kes ke atas tuduhan rasuah terhadap Guan Eng didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 10 Januari.

Guan Eng sebelum ini memfailkan semakan kehakiman selepas diarahkan untuk memfailkan kenyataan bela diri sebelum perbicaraannya dimulakan.

Hari ini Raus berkata, beliau setuju dengan timbalan pendakwa raya (DPP) bahawa seseorang tertuduh boleh mengemukakan dokumen lain selepas perbicaraan bermula, mengikut Akta Keterangan. 

DPP Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 62 Akta SPRM tidak menghalang defendan dari mengemukakan bukti semasa perbicaraan.

Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo.

“Jadi apa masalahnya?” kata Raus kepada Gobind di mahkamah, seperti dipetik dalam laporan Malaysiakini hari ini.

Tahun lepas, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dituduh kerana mewarta semula tanah pertanian di Balik Pulau untuk dijadikan perumahan awam.

Tindakan itu dikatakan menguntungkan pemilik tanah, Magnificient Emblem, syarikat yang dikaitkan dengan bekas tuan tanah Guan Eng, Phang Li Koon.

Jika didapati bersalah, tuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda dari nilai rasuah, atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Beliau didakwa buat kali kedua pada 28 Julai lalu berhubung pembelian banglo RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, didakwa di bawah harga pasaran iaitu RM4.27, juga daripada Phang

Jika sabit kesalahan, tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Phang, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi pertuduhan berkaitan penjualan banglo itu. – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen