Apa sebab nak jumpa peguam Anwar, soal Nur Jazlan


Amin Iskandar

Timbalan Menteri Nur Jazlan Mohamed tetap enggan bertemu peguam hak asasi manusia Kimberley Motley yang mahu mengunjungi ketua umum PKR Anwar Ibrahim di penjara. – Gambar Fail The Malaysian Insightt, 27 April 2017.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan keperluan untuk bertemu dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley yang tidak dapat bertemu dengan anak guamnya Anwar Ibrahim.

Nur Jazlan berkata, semakannya dengan Jabatan Penjara mendapati, Motley tidak didaftarkan sebagai peguam rasmi kepada ketua umum PKR itu.

“Apa sebab saya nak jumpa dia? Anwar habis tempoh penjara dia tahun depan. Sabar dan tunggu lah,” kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insight.

“Dia ini ada lesen peguamcara kat Malaysia tak?”

Portal Free Malaysia Today melaporkan hari ini Motley bersedia menemui Nur Jazlan berhubung halangan untuk bertemu anak guamnya Anwar di penjara.

Motley yang mewakili Anwar secara pro bono sejak 7 September lalu berkata, beliau dibenarkan melawat Anwar di penjara pada kunjungan terakhirnya ke Malaysia sebelum ini tetapi tidak pada kali ini.

Menurut Nur Jazlan, Putrajaya sudah memberikan layanan yang baik terhadap Anwar sepanjang beliau di Penjara Sungai Buloh sejak 2015.

“Dia minta rawatan perubatan dan kerajaan dah benarkan.

“Layanan cukup baik selama hampir 5 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Motley mengkritik Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi kerana menghalang beliau melawat Anwar di Penjara Sungai Buloh.

Semalam, Nur Jazlan membidas Motley atas sikap kurang ajar, sombong dan bongkak kerana mengkritik peraturan penjara di Malaysia.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

12 November lalu, Anwar menjalani pembedahan di bahagian bahu berikutan kecederaan akibat kemalangan pada September yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.

Anwar kini dipindahkan ke Pusat Rehabilitasi Cheras untuk rawatan susulan selepas pembedahan itu.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen