Anwar Ibrahim selamat jalani pembedahan


Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim selamat menjalani pembedahan pada bahu kanan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

KETUA Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim selamat menjalani pembedahan pada bahu kanan semalam, kata ahli keluarganya.

Dalam satu kenyataan malam tadi keluarga Anwar berkata, pembedahan itu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur pagi semalam dan selesai kira-kira 1.30 petang.

“Beliau kini sudah sedar sepenuhnya walaupun masih dalam keadaan sakit, namun responsif dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

“Kami merakamkan sepenuh penghargaan buat semua pihak yang mendoakan kejayaan pembedahan,” kata kenyataan itu.

Anwar mula mengalami kecederaan itu selepas terlibat dalam kemalangan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 2014.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjalani pembedahan itu berikutan kecederaan di bahu kanan semakin teruk akibat kemalangan September lalu yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.

Kenderaan pengiring itu dikatakan gagal berhenti mengakibatkannya melanggar kenderaan membawa Anwar yang berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Anwar ketika itu sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah berada empat malam di HKL untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahunya.

“Pemenjaraan ayah kami selaku tahanan politik menjadikan kecederaan bahunya lebih kronik, ditambah dengan kemalangan sewaktu beliau dalam jagaan pihak berkuasa lebih sebulan lepas,” kata kenyataan itu.

“Kami juga memohon agar semua teman yang dihormati terus mendoakan pemulihan Anwar.”

Anwar menjalani hukuman penjara sejak Februari 2015 selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen