Gaji rendah tapi komitmen tinggi, peminjam PTPTN serba salah


Yasmin Ramlan

Penuntut masuk dalam kategori B40 secara automatik selepas tamat pengajian di IPT. Ditambah dengan komitmen dan hutang lain, peminjam PTPTN terasa bebannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2017.

GAJI yang rendah dan tanggungan tinggi membataskan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengutamakan pembayaran balik pinjaman tersebut.

Tekanan ini paling kuat dirasai oleh golongan yang masuk dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40) secara automatik selepas tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

Kategori ini menghimpun isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,860.00 sebulan. Salah seorangnya ialah Fadzlee Ayob , seorang eksekutif sumber manusia.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Fadzlee berkata, beliau hanya mula membayar pinjaman PTPTN setahun selepas menamatkan pengajiannya di universiti.

Dengan gaji RM2,000 ketika mula bekerja, Fadzlee berkata dia perlu membayar kira-kira RM500 untuk ansuran kereta, RM600 untuk tanggungan petrol dan tol ke tempat kerja di Shah Alam, Selangor dari rumahnya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Memang ada orang tanya kenapa tak beli kereta terpakai saja? Bukan tak mahu, tapi kereta terpakai tak ada 0% bayaran muka macam kereta baru.

“Permohonan pinjaman untuk kereta baru diluluskan cepat. Ibu bapa saya tak ada banyak duit untuk bayarkan cengkeram kereta dan saya pula baru habis belajar masa tu.

“Saya ada lesen memandu kereta sahaja. Kalau saya ada lesen motosikal memang saya beli motosikal saja. Kalau naik pengangkutan awam, susah untuk pergi kerja.

“Kebanyakan bakal majikan semasa temuduga dulu tanya sama ada saya ada kenderaan sendiri atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas mempertimbangkan segala aspek, Fadzlee membuat keputusan untuk membeli kereta MyVi 1.3x untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Jelasnya, memandangkan beliau sudahpun bekerja dengan firma terkemuka dan stabil, beliau enggan bertukar tempat kerja, meskipun terpaksa melalui perjalanan jauh.

Selepas setahun, katanya, beliau hanya mampu membayar RM250 setiap bulan untuk melangsaikan pinjaman PTPTN berjumlah RM72,000 yang ditanggung sewaktu pengajian diploma dan ijazah sarjana muda di universiti swasta, ujarnya.

Sudah cukup jimat tapi masih belum mampu bayar

Berbeza pula dengan Nabilah Fuad yang membuat pembayar pada gaji pertamanya, tetapi tidak mampu membuat pembayaran bulanan seperti jumlah yang ditetapkan.

Jelasnya, menurut perjanjian beliau perlu membuat bayaran bulanan lebih RM400 untuk kedua-dua pinjaman untuk peringkat diploma dan sarjana ijazah muda yang berjumlah RM78,000.

“Tapi saya bayar mana yang mampu saja. Kadang-kadang RM50, kadang-kadang RM150. Tengok mana yang mampu pada bulan itu. Cuma kadang-kadang langkau juga sebab banyak pakai duit (untuk tujuan lain) waktu itu.

“Saya tak dapat bayar banyak macam yang ditetapkan dalam perjanjian sebab akan jejas duit makan bulanan. Saya masih kena bayar duit sewa rumah dan sediakan kos pengangkutan ke tempat kerja,” kata penulis kandungan dalam talian itu.

Nabilah tidak mempunyai kereta tetapi beliau masih memerlukan kira-kira RM600 sebulan untuk berulang-alik dari rumahnya di Damansara ke tempat kerjanya di Petaling Jaya, Selangor.

“Kadang-kadang saya kongsi kereta dengan kawan saya. Jadi dapatlah jimat sikit. Kalau tidak, kena sediakan duit naik Grabcar sebab ada masa saya kena hadiri acara untuk kerja saya,” katanya yang berasal dari Johor.

Nabilah berkata, beliau terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP apabila menerima pemberitahuan senarai hitam dari Jabatan Imigresen yang menyekatnya dari keluar negara dan diminta melangsaikan sebahagian tunggakan pinjaman.

Sekatan ke atas peminjam ingkar dari keluar negara itu merupakan salah satu kaedah yang diperkenal PTPTN untuk meraih semula kerugiannya.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak berbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula pula hanya 46.6%.

Selain itu, PTPTN turut menyenaraikan peminjam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Ini menyebabkan peminjam yang tidak membuat bayaran dihalang daripada membuat pinjaman rumah atau kereta.

PTPTN turut menghentikan pemberian pinjaman penuh dan menggalakkan pengeluaran simpanan KWSP akaun kedua bagi salah satu penyelesaian melangsaikan hutang tersebut.

Enggan keluarkan simpanan KWSP

Mengulas mengenai saranan itu, seorang lagi peminjam, Mohamad Shah Suradi berkata beliau menanggung hutang PTPTN sebanyak RM15,000 dan mengakui telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Beliau bagaimanapun enggan menggunakan simpanan KWSP kerana merasakan ia sepatutnya digunakan untuk simpanan hari tua dan bukannya untuk pembayaran hutang.

Juruteknik berusia 28 tahun itu berkata, beliau tidak dapat membayar semula pinjaman tersebut dengan gajinya yang sekitar RM2,500 ketika mula menceburi alam pekerjaan.

“Komitmen saya banyak dan gaji kecil – cukup-cukup makan saja. Tinggal di bandar dengan semua barang mahal memang tak cukup nak bayar.

“Selepas kahwin lagilah tinggi (perbelanjaan). Jadi masih susah (untuk saya) bayar PTPTN,” kata Mohamad Shah yang berasal dari Perak.

Kini, meskipun telah lima tahun bekerja dan menerima gaji RM3,200, bapa kepada seorang anak itu masih berasa tersepit untuk membayar balik pinjaman PTPTN.

Katanya, perbelanjaan bulanannya merangkumi RM600 wang kepada ibunya, kira-kira RM500 diperuntukkan untuk penyelenggaraan kereta Proton Pesona yang dibeli sewaktu mula bekerja, dan sewa bilik sebanyak RM200 ketika itu.

Tanggungannya bertambah apabila berkeluarga dan kini dan perlu membayar ansuran rumah, yang turut dikongsi isteri, kata Mohamad Shah.

Perkembangan ini mendapat perhatian pengkaji, seperti Profesor Norma Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) Universiti Malaya.

Katanya, rakyat Malaysia tidak memiliki simpanan secukupnya untuk menampung tempoh persaraan mereka.

Ini terutamanya bagi golongan pekerja berpendapatan rendah yang kekurangan wang bagi persaraan biarpun membuat caruman KWSP sepanjang usia bekerja, katanya dalam kenyataan pada Oktober lalu.

Kajiannya menunjukkan, sebahagian besar pengeluaran KWSP (sebelum 55 tahun) digunakan bagi tujuan pembelian rumah, pengubahsuaian kediaman, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan lain.

Bayar semula selepas gaji cecah RM4,000

Peminjam dalam golongan B40 ini berada dalam keadaan dilema kerana terpaksa membayar pinjaman PTPTN dan pada masa sama terpaksa menanggung kenaikan harga pelbagai barang keperluan asas termasuk petrol.

Mereka dibelenggu dengan pilihan – sama ada bayar pinjaman tersebut dan terpaksa mengikat perut atau mencatu segala keperluan yang patut. Jika berbelanja sekadar cukup makan sekalipun, mereka terpaksa reda jika disenarai hitam dari keluar negara.

Exco hal ehwal pendidikan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat, salah satu cara untuk mengatasi isu ini ialah dengan menguatkuasa pembayaran semula pinjaman hanya apabila gaji graduan menerima gaji mencecah RM4,000.

“Majoriti besar peminjam PTPTN bergelut dengan gaji rendah. Motosikal atau kereta adalah keperluan untuk mereka.

“Mereka juga perlu membayar sewa rumah. Sesetengah daripada mereka perlu menghantar wang pulang kepada keluarga di kampung,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tambah pula dengan kos sara diri yang tinggi, ramai peminjam tidak punya baki cukup untuk bayar PTPTN. Sebab itu sebelum diperkenalkan pendidikan percuma, Pakatan Harapan gesa pembayaran semula PTPTN dibuat hanya selepas gaji graduan mencapai RM4,000,” katanya.

Tambah dana pendidikan

Beliau juga menggesa PTPTN mencontohi amalan kerajaan Selangor dalam mempertingkatkan dana pendidikan dan melaksana pinjaman tanpa faedah.

Katanya, Selangor tetapi dapat memberikan pendidikan percuma secara berperingkat bermula dengan Universiti Selangor melalui Skim Dermasiswa untuk semua Program Asasi.

Sedangkan, kerajaan negeri meraih jumlah hasil lebih kecil – RM2 bilion berbanding kira-kira RM200 bilion yang diperolehi kerajaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, Tabung Pendidikan Selangor sentiasa mempunyai peruntukan dan hanya berikan pinjaman dalam jumlah kecil.

Ia berbeza dengan PTPTN yang mengekalkan kadar ujrah 1% yang didakwa membebankan peminjamnya.

Jelasnya, PTPTN kini terpaksa mencari dana sendiri dengan meminjam daripada institusi kewangan lain kerana tidak lagi menerima bon kerajaan.

“PTPTN jadi mangsa. Kerajaan Persekutuan perlu kembalikan dana kepada PTPTN agar mereka mempunyai sumber untuk diberikan kepada pelajar,” tegasnya. – 17 Disember 2017  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen