Kos pentadbiran PTPTN patuh syariah 'tak perlu dihapuskan'


Nabihah Hamid

PTPTN mengenakan faedah patut syariah pada kadar yang sangat rendah untuk menampung kos pentadbirannya, menurut Pengerusi PTPTN Shamsul Anuar Nasarah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Ogos, 2017.

KOS pentadbiran satu peratus bagi pinjaman ujrah mematuhi syariah dan tidak perlu dihapuskan, kata pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, kepatuhan syariah pinjaman ujrah itu sudah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.

“Ujrah satu peratus tidak wajar dimansuhkan kerana ia amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan seperti yang dianggap peminjam serta diperlukan untuk menampung kos upah pengurusan dan pentadbiran setiap akaun pinjaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Lenggong itu memberi reaksi kepada laporan The Malaysian Insight mengenai gesaan peminjam yang mahu caj pentadbiran itu dihapuskan kerana ia menambah beban kewangan mereka yang sudah sedia terbeban.

Peminjam menyifatkan caj antara satu hingga tiga peratus itu sebagai amalan riba serta meningkatkan jumlah hutang sekiranya mereka gagal membayar ansuran yang sepatutnya mengikut masa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Shamsul mengingatkan bahawa PTPTN sudah menyerap faedah lima peratus yang dikenakan atas pinjaman badan itu daripada bank selepas kerajaan tidak lagi memberi geran sejak 2003 untuk diagihkan sebagai pinjaman pendidikan.

Katanya, PTPTN kini meminjam daripada institusi kewangan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, CIMB, Ambank, RHB dan Maybank melalui pinjaman jangka panjang dan penerbitan sukuk, yang wang itu kemudiannya diberi pinjam kepada peminjam pendidikan.

Pelajar Malaysia bergantung harap kepada PTPTN bagi menampung perbelanjaan kos pengajian, tetapi ramai yang gagal membayarnya selepas tamat pengajian sehingga dihalang ke luar negara. – Gambar AFP, 9 Ogos, 2017.

“PTPTN dikenakan faedah pinjaman melebihi 5% melalui pinjaman yang dilakukan. Peminjam PTPTN pula tidak dikenakan sebarang bayaran daripada faedah tersebut.

“Dalam erti kata lain faedah pinjaman tersebut ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN dan kerajaan, dan bukan peminjam,” katanya lagi. 

Justeru katanya, kos pentadbiran yang dikenakan sekarang sangat rendah berbanding institusi kewangan lain.

Peminjam PTPTN disyaratkan menandatangan satu perjanjian yang menyatakan kadar bunga antara satu hingga tiga peratus, bergantung pada tahap pendidikan tinggi dan pertimbangan lain, akan dikenakan selepas tempoh enam bulan setelah mereka tamat pengajian.

Pada awal penubuhan PTPTN, peminjam dikenakan kos pentadbiran sebanyak empat peratus setahun (pinjaman konvensional). Ia kemudian diturunkan kepada tiga peratus setahun bermula 1 Januari 2004.

Pada masa ini, pinjaman PTPTN hanya melibatkan ujrah atau upah satu peratus setahun atas kadar rata bermula 1 Jun 2008.

Bernama sebelum ini melaporkan yang PTPTN mensasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan setiap tahun yang diperoleh PTPTN hingga mampu mengutip RM3.4 bilion tahun lepas walaupun sasaran asal hanya RM2 billion.

Beliau juga memaklumkan  284,210 peminjam yang pernah disenarai hitam sudah membayar balik keseluruhan pinjaman selepas pengenalan program “Boleh Bincang” sejak Mac yang memberi peluang kepada peminjam menguruskan pembayaran balik.

Statistik terkini Jabatan Imigresen Malaysia mendedahkan lebih setengah daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam PTPTN. – 9 Ogos, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen