Peminjam gesa PTPTN henti kenakan bunga


Nabihah Hamid

PEMINJAM yang disenarai hitam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) menggesa badan itu supaya menghapuskan caj pentadbiran hutang bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Mereka menyifatkan caj antara satu hingga tiga peratus itu sebagai amalan riba serta meningkatkan jumlah hutang sekiranya mereka gagal membayar ansuran yang sepatutnya.

Dr A Naomi,40, yang membayar RM350 sebulan kepada PTPTN selama 10 tahun sejak keluar universiti sehingga ini masih belum dapat melangsaikan hutangnya sebanyak RM34,000.

“Punca saya tidak mampu bayar PTPTN kerana komitmen tinggi termasuk pinjaman rumah, pinjaman kereta, cukai pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Selain itu, (bunga) yang dikenakan membantutkan keinginan peminjam untuk membayar semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya tidak bersetuju dengan kos pentadbiran kerana peminjam terbeban dengan bayaran bulanan. Malah tiada kenaikan gaji, bagaimana hendak bayar?,” keluhnya yang perlu membayar RM350 sebulan untuk pinjaman RM34,000.

Perjanjian

Peminjam PTPTN disyaratkan menandatangan satu perjanjian yang menyatakan kadar bunga antara 1 hingga 3 peratus, bergantung pada tahap pendidikan tinggi dan pertimbangan lain, akan dikenakan selepas tempoh enam bulan setelah mereka tamat pengajian.

Di bawah perjanjian pinjamannya, Dr Naomi membayar bunga 3%, kadar yang beliau sifatkan tinggi bagi graduan baru yang baru pula memulakan kehidupan berkeluarga.

Bagaimanapun pada 2008, doktor haiwan ini memohon status pinjamannya ditukar dan sejak itu beliau dikenakan caj sebanyak 1%.

Begitupun, beliau tetap tidak setuju dengan pengenaan bunga itu dan menggesa kerajaan menimbangkan kos sara hidup yang tinggi serta gaji yang rendah yang dihadapi oleh kebanyakan graduan.

Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan lebih separuh daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam PTPTN.

Sementara itu, bagi Arjunaidi Wan, 28, beliau terpaksa akur dengan tindakan disenaraihitamkan daripada ke luar negara kerana gajinya yang rendah sebagai pembantu tadbir tidak memungkinkan beliau melangsaikan hutang itu segera, ditambah komitmen hidup yang tinggi.

Kos sara hidup yang meningkat menyebabkan ramai yang tidak mampu melangsaikan hutang pendidikan yang diberi PTPTN walaupun memperuntukkan ratusan ringgit sebulan . – Gambar The Malaysia Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2017.

“Bayar rumah, kos anak dan kereta sahaja hutang saya sudah mencecah dua ribu ringgit. Gaji saya juga rendah,” katanya.

Beliau mendedahkan kos pentadbiran atau bunga yang dibayarnya setakat ini berjumlah hampir satu perempat daripada jumlah pinjaman.

Cadangan beliau: batalkan kos pentadbiran atau bunga, dan peminjam cuma bayar jumlah yang dipinjam saja.

“Kos pentadbiran mengakibatkan jumlah pinjaman meningkat,” katanya.

Nasib pereka grafik Nabil Saleh juga serupa. Sejak tamat pengajian dan mula bekerja pada 2011, beliau konsisten membayar hutang pelajarannya. Dalam tempoh dua tahun, dia membayar hampir RM4,000.

Tetapi pembayarannya bapa kepada dua anak ini mula tersangkut pada 2014 apabila beliau kehilangan pekerjaan kerana syarikat tempat ia bekerja berdepan tekanan ekonomi.

“Saya tidak bayar sejak tahun 2014 dan sehingga kini pinjaman saya kembali seperti asal iaitu RM15,000. Apa yang saya bayar itu tiada makna kerana kos pentadbiran yang bertambah setiap tahun.

“Kenapa begitu? PTPTN adalah tabung pendidikan, maka jangan amalkan riba. Ini saya baru mula bekerja beberapa bulan dan masih belum stabil,” katanya yang menetap di Kuala Selangor.

Senarai hitam

Bagi sesetengah peminjam, mereka terpaksa membuat dua kerja bagi memastikan dapat memenuhi tuntutan hutang dan menyelesaikan hutang PTPTN mengikut jadual supaya tidak terbeban dengan kos pentadbiran.

“Saya membayar RM500 untuk pinjaman diploma RM15,000. Syukur untuk (ijazah) saya dapat kelas pertama dan ditukarkan kepada biasiswa,” katanya.

Beliau bekerja sebagai penulis sambilan untuk sebuah laman web bagi mendapatkan duit tambahan supaya boleh membayar lebih daripada bayaran minimum RM350 sebulan kepada PTPTN.

“Tetapi apa pun saya sakit hati dan rasa tak patut dengan kos pentadbiran yang dikenakan agak tinggi. Walaupun kita bayar secara konsisten, hutang akan lambat langsai sebab PTPTN makan duit kos pentadbiran yang tinggi,” katanya.

Jelas Dalilah, beliau beruntung kerana dapat bayar lebih kerana komitmennya tidak terlalu tinggi sebab belum berkeluarga.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada PTPTN tetapi masih belum mendapatkan sebarang maklum balas. – 6 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen