Jamal perlu cermin diri sendiri, kata pengguna media sosial 


Yap Pik Kuan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos disifatkan oleh pengguna media sosial sebagai perlu cermin diri sendiri berikutan kritikanya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2017.

PEMIMPIN Umno kontroversi Jamal Md Yunos perlu cermin diri sendiri sebelum mengkritik Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kata pengguna media sosial. 

Kenyataan Jamal terhadap Dr Mahathir dan isterinya hari ini mencetuskan kemarahan pengguna media sosial. 

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu menyifatkan tindakan Dr Mahathir dan isterinya memulangkan anugerah kepada Sultan Selangor sebagai kebudak-budakan, dan meminta mereka kembali ke darjah 1 untuk belajar taat setia. 

Ramai pengguna media sosial menyifatkan kenyataan Jamal sebagai biadap dan tidak sopan, dan berkata beliau perlu lihat cermin dahulu sebelum bercakap. 

Antaranya, pengguna Twitter Festive Tewwy (@_freakinster) yang berkata, “Seseorang perlu lihat cermin dengan mendalam. Ironinya wow”.

Di Facebook Wan Seri Mayangsari Malek menjawab dengan mencadangkan satu laman mengutip dana ditubuhkan untuk membeli cermin kepada Jamal. 

“Saya tak tahu kenapa, tetapi saya ketawa..kita perlu buat (dana) GoFundMe untuk belikan cermin besar padanya,” tulisnya dan menambah dua emotikon ketawa 

Ada juga pengguna yang berkata Jamal perlu ikut nasihat sendiri dan kembali ke sekolah untuk betulkan tingkah lakunya. 

“Kau yang kena pergi sekolah balik. Dulu suruh belajar asyik ponteng haa sekarang ini jadi samseng jalanan,” kata Ainah Bahrom dalam ruangan komen di Facebook.

“Jamal perlu diajar etika. (Orang) yang perlu disekolahkaan adalah Jamal sendiri,” tulis seorang lagi pengguna Facebook Harjit Puarr Bhullar. 

Di Twitter, ND (@Kabir_32) berkata, “Jangan kurang ajar dengan orang tua yang berikan apa yang kamu miliki sekarang. Ini menunjukkan kamu perlu ke sekolah semula. Ini menunjukkan kamu buta huruf dan tidak sopan. Cara kamu bercakap sudah buktikannya.”

Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia yang paling lama mentadbir dari 1981 hingga 2003. Beliau kembali ke arena politik tahun lalu dan lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dan skandal 1MDB. 

Beliau baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas menyindir Najib dengan gelaran “lanun Bugis”, yang mencetuskan kemarahan masyarakat Bugis di Malaysia dan Indonesia serta Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Segelintir pengguna media sosial berpendapat kerajaan memberi okongan tersirat pada Jamal kerana tidak mengenakan tindakan ke atas pemimpin Umno itu. 

Jamal pernah ditahan reman beberapa kali sebelum ini, yang terbaharu adalah kerana mengancam untuk memukul kepala bekas menteri Zaid Ibrahim dengan tukul kerana tidak menghormati Sultan Selangor dan membakar imej ahli DAP itu di keratan kadbod. 

Bagaimanapun, tiada pendakwaan dibuat ke atasnya. 

“Jelas sekali kerajaan di belakangnya kerana tiada tindakan diambil terhadap psiko ini,” kata Kingsley Robson di Facebook. 

Pengguna Ella Ara mempersoalkan sama ada ini adalah jenis pemimpin yang dibanggakan Umno. 

“Kurang ajar dan biadab Jamal ni… inikah yang Umno bangga-banggakan,” tulis Ella Ara. 

Pengguna Twitter dengan nama Boyfriend From Hell™ (@The_Endie) pula berkata Jamal adalah simptom kepada kerajaan BN-Umno. 

“Datang dari Jamal Jamban yang paling biadap, ganas, dan mentah. Itu sebabnya kerajaan Umno tidak boleh selesaikan masalah negara. Mereka tiada cermin untuk lihat diri sendiri dan membuat peningatan diri. – 13 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen