'Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah kembalilah ke darjah 1'


Yasmin Ramlan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos turut menggesa Zaid Ibrahim kembali ke sekolah untuk belajar Rukun Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2017.

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos berkata, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bertindak biadap dengan memulangkan darjah kebesaran kepada Istana Selangor.

Begitu juga dengan tindakan bekas menteri, Zaid Ibrahim yang mempertikaikan kritikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Dr Mahathir, kata Jamal.

Katanya lagi, Dr Mahathir dan isteri juga bersikap “keanak-anakan” kerana memulangkan darjah kebesaran berkenaan selepas menerima kritikan Sultan Sharafuddin.

“Sedikit sahaja teguran daripada Sultan Selangor, (dah) seperti kebudak-budakan… merajuk memulangkan pingat. 

“Memulangkan pingat ini kita tidak kisah kalau tidak ada krisis tapi kalau ada krisis dan teguran maka memulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan sebelum ini bermakna ini adalah satu protes yang tidak dapat menerima dan tidak menghormati sultan ini tafsirannya.

“Mereka ini perlu kembali duduk di sekolah darjah 1, duduk sekolah balik. Saya nak bagi tahu, Tun M jangan pandai cakap, pusing satu Malaysia. 

“Masuk balik sekolah darjah 1, belajar Rukun Negara begitu juga dengan Zaid, balik darjah 1, belajar erti Rukun Negara patuh dan taat kepada Rukun Negara, barulah sepatutnya menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Beliau merujuk kepada prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” dalam deklarasi falsafah kenegaraan Rukun Negara.

Pemimpin Umno itu menyatakan tuntutan itu dengan menunjukkan satu buku latihan sebagai gimik untuk menggesa individu berkenaan kembali bersekolah di “darjah 1” untuk belajar semula maksud menghormati Raja-Raja Melayu.

Terdahulu beliau membuat laporan ke atas Dr Mahathir, Siti Hasmah serta Zaid atas tindakan yang didakwa dikatakan menghina Sultan Selangor.

Khamis lalu, Dr Mahathir dilaporkan memulangkan semula dua darjah kebesaran yang diterimanya daripada Istana Selangor dan diikuti Siti Hasmah.

Tindakan itu dibuat dua hari selepas Sultan Selangor menjelaskan kemurkaan baginda tersebut dalam satu wawancara dengan The Star pada minggu sebelumnya.

Sultan Sharafuddin dilaporkan murka terhadap kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

Dr Mahathir semasa himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, dalam ucapannya membidas Perdana Menteri Najib Razak sebagai “keturunan lanun Bugis”.

Dewan Diraja Selangor pada 2 November mengeluarkan kenyataan menyebut Sultan Selangor memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir itu.

Kenyataan itu disifatkan cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong bangsa Bugis kononnya berasal usul daripada golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata kenyataan itu.

Dewan Diraja Selangor turut berpandangan Dr Mahathir wajar disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Melalui kenyataan yang sama, Sultan Selangor turut mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Ini kali kedua saya buat laporan polis terhadap Zaid yang tak ada adab (terhadap sultan). Tun M (pula) yang kita lihat apabila menerima teguran daripada Sultan Selangor, beliau cuba memperlekehkan ataupun buat protes dengan memulangkan darjah kebesaran.

“Jadi bagi kami, mereka ini tidak mematuhi peradaban, (kerana) daripada kecil lagi (kita) diajar tentang Rukun Negara,” kata Jamal.

“Itulah mereka ini tidak memahami, mungkin sudah terlupa, sudah terlalu tua dan terlupa erti Rukun Negara. Jadi, kena kembali ke bangku sekolah.

“Kita sebagai rakyat Malaysia walaupun tidak berakal panjang, sebijak Zaid dan Tun M, perlu mematuhi kerana sejak di bangku sekolah sehingga sekolah menengah, inilah yang setiap hari kita pegang dan baca.

“Saya sifatkan Zaid, Tun M dan isterinya sebagai individu yang kurang ajar dan tidak patuh kepada Rukun Negara,” katanya. – 13 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Salakan engkau semlm x kuat kah kah kah kau kena menyalak kuat lg kah kah kah ramai yg x amik pot

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan