Warisan miliki kelebihan dalam PRN Sabah menjelang akhir kempen, kata Ilham Centre


Sheridan Mahavera

Kedua-dua gabungan politik utama Sabah masih mempunyai peluang kemenangan yang baik esok kerana kerumitan sentimen di kalangan 1.2 juta pengundi di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 25 September, 2020.

GABUNGAN Warisan Plus memiliki kelebihan berbanding saingan mereka Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika tempoh kempen berakhir secara rasmi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata sebuah kumpulan pemikir.

Ilham Centre, bagaimanapun, berkata bahawa kajiannya menunjukkan bahawa kedua-dua gabungan utama itu masih mempunyai peluang kemenangan yang baik esok kerana kerumitan sentimen di kalangan 1.2 juta pengundi di Sabah.

Warisan Plus dianggap sebagai “pemenang yang jelas” di 23 kerusi sementara di 14 kerusi yang hangat direbut, sentimen pengundi cenderung ke arah gabungan parti politik kerajaan semasa, kata Ilham Centre.

“PRN Sabah masih menjadi permainan terbuka bagi GRS dan Warisan Plus sehingga pengundian ditutup pada pukul 5.30 petang esok,” kata Panel Penyelidikan Ilham Centre dalam sebuah ringkasan eksekutif.

PRN Sabah menyaksikan pertembungan gabungan kerajaan negeri, Warisan Plus dan GRS, yang terdiri daripada Barisan Nasional Sabah, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beberapa parti yang berpangkalan di Sabah, seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan 56 calon bebas juga turut beradu pengaruh di gelanggang pilihan raya.

Kesemua gabungan politik perlu menguasai 37 daripada 73 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Kajian terpisah oleh kumpulan pemikir lain yang berpusat di Sabah, Society for Empowerment and Economic Development (SEEDS), mendapati GRS memiliki kelebihan 2.7% lebih daripada Warisan Plus dari sudut kedudukan populariti.

Pengerusi SEEDS Dr Arnold Puyok berkata 43.4% responden dalam tinjauan memilih GRS berbanding 40.7% untuk Warisan Plus. Baki 15.9% memilih parti lain, katanya.

Ilham Centre mengemukan kesimpulan tersebut berdasarkan penilaiannya dalam wawancara kumpulan fokus, tinjauan dan pemerhatian di kalangan pengundi di 73 kawasan yang akan mengundi esok.

Kajiannya dari 8 September hingga 24 September mendapati bahawa dari 73 kerusi yang dipertandingkan, pertandingan di 31 kerusi akan menjadi kunci bagi siapa yang memenangi pilihan raya. – 25 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen