33 kerusi panas jadi penentu PRN Sabah


Chan Kok Leong Sheridan Mahavera

Kemenangan di 33 kerusi panas dalam PRN Sabah akan ditentukan oleh kombinasi beberapa faktor termasuk reputasi calon dan jentera parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

KEMENANGAN pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan ditentukan oleh 33 daripada 73 kerusi DUN yang ditandingi oleh dua gabungan utama dan kelompok parti kecil di negeri itu.

Daripada 33, 13 adalah kerusi baharu yang diwujudkan semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya 2018 yang tidak termasuk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baki 20 kerusi panas dimenangi dengan margin kurang 2,000 undi pada PRU14, kata penganalisis dan ahli politik kepada The Malaysian Insight.

Daripada jumlah itu, tujuh berada di pantai barat Sabah, tujuh di kawasan pedalaman dan enam di pantai timur.

Bilangan 40 daripada 73 kerusi, dianggap “selamat” kerana ia dimenangi dengan majoriti selesa melebihi 2,000 undi sama ada oleh Warisan Plus atau parti yang kini berada dalam pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS terdiri daripada parti dalam Barisan Nasional Sabah (BN Sabah), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Gabungan perlu memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi agar dapat memperoleh majoriti mudah dalam badan perundangan Sabah dan membentuk kerajaan.

Peninjau pendapat awam Hisomuddin Bakar berkata, kemenangan di 33 kerusi panas akan ditentukan oleh kombinasi beberapa faktor termasuk reputasi calon dan jentera parti.

Faktor kritikal lain ialah jumlah parti dan calon yang bertanding kerana ini akan memecahkan undi, kata Hisomuddin daripada Ilham Centre.

“Di 20 kerusi yang dimenangi secara tipis pada PRU14, terdapat begitu banyak parti dan sukar untuk meramalkan bagaimana parti lebih kecil akan mencuri undi yang sepatutnya diperolehi gabungan besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum PRU14, pendapat konvensional adalah calon parti tidak popular masih boleh menang jika berdepan dua parti pembangkang, kerana kedua-dua parti itu akan menyebabkan undi pecah.

Tetapi di Sabah, terdapat kerusi seperti Liawan di kawasan Keningau di mana penyandang jawatan dan parti pembangkang diancam oleh calon bebas popular yang mempunyai hubungan kuat dengan parti ini.

Terdapat juga masalah parti GRS meletakkan calon yang bertanding antara satu sama lain di sekurang-kurangnya 16 kerusi.

“Ini menjadikan pilihan raya Sabah sangat sukar untuk diramalkan kerana terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi undi,” kata saintis politik Dr Mazlan Ali yang juga sedang mengkaji pilihan raya.

Kecuali bagi 15 kerusi bandar, politik di kawasan luar bandar Sabah banyak dipengaruhi isu pembangunan dan etnik, kata Mazlan.

“Ini kerana banyak pengundi masih miskin, kemampuan calon atau rekod prestasi dalam membantu kampung sangat penting, lebih penting daripada parti yang diwakilinya,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia. – 25 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen