Isu Bugis, polis ambil keterangan Dr Mahathir


Muzliza Mustafa

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berjalan melintasi gambar beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana. Hari ini di tempat sama, polis datang untuk mengambil keterangan beliau berhubung isu Bugis yang dibangkitkan beliau ketika perhimpunan anti-kleptokrasi pada Oktober lalu di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Disember, 2017.

POLIS hari ini mengambil keterangan Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Bugis yang dibangkitkan beliau ketika perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya, Oktober lalu.

Pasukan peguam Dr Mahathir berkata, soalan-soalan yang ditanya oleh enam polis itu berkait dengan isu Bugis.

Pasukan polis sampai di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Negara pada jam 1.30 petang.

Difahamkan setakat ini, tiga laporan polis telah dibuat berhubung isu itu.

“Dr Mahathir beritahu polis beliau akan jawab semua tuduhan di mahkamah dan akan jelaskan ia bukan ditujukan kepada masyarakat Bugis tetapi hanya kepada pencuri yang dikenali sebagai Najib,” kata pasukan peguam Dr Mahathir.

Juga difahamkan sebanyak 32 soalan ditanya pihak polis yang mana 22 daripadanya berhubung perhimpunan anti-kleptokrasi di Petaling Jaya, manakala selebihnya soalan mengenai kenyataan Dr Mahathir di Ideal Convention Centre di Shah Alam pada Julai 2017. 

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memberitahu pasukan penyiasat adalah bodoh bagi dirinya dan pakatan pembangkang untuk menghina masyarakat Bugis kerana PH juga mahukan sokongan masyarakat itu.

Pada perhimpunan Oktober lalu, Dr Mahathir didakwa menyelar Perdana Menteri Najib Razak sebagai keturunan “lanun Bugis”.

Susulan itu, Majlis Raja-Raja pada 2 November lalu mengeluarkan dua kenyataan yang menyatakan kemurkaan Sultan terhadap ucapan Dr Mahathir, dan menggesa pihak polis menyiasat Dr Mahathir. 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meluahkan kekesalan dengan kenyataan Dr Mahathir itu. 

Presiden Bersatu itu sedang disiasat di bawah tuduhan hasutan, ugutan dan juga pelanggaran di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketua pasukan peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, anak guamnya berhak untuk menjawab soalan di mahkamah.

“Beliau jawab apa yang beliau boleh jawab dan simpan untuk dijawab di mahkamah,” katanya menambah empat pegawai polis dan dua pembantu polis dari Bukit Aman itu mengambil masa 45 minit menyoal Dr Mahathir.

“Janganlah buang masa orang tua itu. Ini bukan siasat kes bunuh. Dakwalah beliau di mahkamah,” kata Haniff.

Bagaimanapun, Haniff tidak salahkan pasukan polis kerana memandangkan mereka berbudi ketika menjalankan tugas mereka, kecuali orang atasan yang berikan arahan itu.

Menurut Haniff, ini adalah kali kelima polis mengambil keterangan Dr Mahathir dalam pelbagai isu. 

Bulan lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat memberitahu The Malaysian Insight pasukan penyiasat telah membuka dua kertas siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung tuduhan menghina kaum Bugis dalam dua ucapan yang dibuatnya di Selangor.

Menurut Fadzil, kertas siasatan dibuka walaupun sebelum kenyataan dikeluarkan oleh Dewan Diraja Selangor yang menggesa polis untuk menyiasat bekas perdana menteri itu.

Peristiwa terbaru berlaku pada 14 Oktober di perhimpunan anti kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Saya boleh mengesahkan yang kami sedang menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataannya mengenai Bugis. Kami akan mengambil kenyataannya tidak lama lagi,” kata Fadzil.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Isu Bugis ini takkan sampai ke penyiasatan polis kalau Mahathir awal-awal lagi sudah tampil untuk menjelaskan mengenai isu ini. Tetapi Mahathir tidak lakukannya mungkin kerana beliau mahukan publisiti untuk menaikkan semula kepopularitian beliau di mata rakyat.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan