Teguran kenyataan Bugis terhadap Dr Mahathir bukan balas dendam, kata Sultan Selangor


Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan ingin membalas dendam terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubungan tindakannya mengehadkan kuasa raja-raja Melayu pada 1980-an.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2017.

MESKIPUN tidak puas hati terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapannya terhadap komuniti Bugis, Sultan Selangor tidak pernah terlintas untuk membalas dendam terhadap bekas perdana menteri itu kerana mengehadkan kuasa raja-raja Melayu pada 1980-an, lapor The Star.

“Tidak, kami tidak percaya kepada membalas dendam. Allah Maha Besar. Dia akan tunjukkan kepada rakyat. Pada masa itu bapa saya memberitahu, hari ini hari dia, esok hari kita,” kata Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara eksklusif bersama akhbar itu.

Sultan Sharafuddin berkata beliau menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya bersuara selepas tiga minggu pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membuat komen mengenai orang Bugis berhubung kritiknya terhadap Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya sedang dalam perjalanan mengerjakan umrah apabila mengetahui tentang kenyataan itu.

“Saya tidak mahu bertindak secara membuta tuli. Saya menunggu sehingga kembali dan bercakap dengan orang yang berada di sana dan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya hanya bercakap selepas itu,” katanya.

Sultan Selangor buat pertama kalinya bercakap selepas kenyataan dikeluarkan oleh Dewan Diraja Selangor yang menggesa Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan kerana menghasut kebencian, menghina dan merendahkan komuniti Bugis.

Sejak kenyataan itu, Sultan Sharafuddin berkata Dr Mahathir masih belum meminta maaf kepadanya.

“Beliau tidak pernah meminta maaf,” katanya.

Pada temubual itu, beliau mempunyai keyakinan yang Dr Mahathir adalah jenis pemimpin yang tidak mahu membenarkan pemimpin lain lebih baik kerana mempunyai “kompleks rendah diri”.

“Beliau (juga) mempunyai kebencian yang dalam dirinya. Jika beliau marah, ia akan membakar seluruh negara.”

Sultan Selangor berkata Dr Mahathir kini “memusnahkan asas yang menyokongnya” sejak memerintah Malaysia selama 22 tahun dengan bantuan dan sokongan pihak lain.

“(Ia) menjadikan beliau seorang yang sangat berbahaya.”

Dr Mahathir, semasa menjadi perdana menteri, menghapuskan imuniti dan kuasa veto undang-undang daripada Raja-Raja Melayu.

Beliau juga berkata monarki memerlukan terlalu banyak wang untuk mengekalkannya, satu perkara yang Sultan Sharafuddin sentuh semasa temubual itu.

“Bagaimana dengan kerugian forex? Ia jauh lebih banyak,” kata baginda dalam temu bual eksklusif bersempena ulang tahun ke-72 pada 11 Disember.

Dr Mahathir baru-baru ini terlibat dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian forex Bank Negara Malaysia antara 1992 dan 1994 dan polis sudah memulakan siasatan.

Dr Mahathir dilaporkan oleh The Malaysian Insight berkata tidak bermaksud menghina masyarakat Bugis dalam ucapannya, tetapi hanya menyasarkan kepada Najib.
Sultan Sharafuddin juga menafikan baginda dipengaruhi mereka yang anti Dr Mahathir.

Seorang lagi sultan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Dr Mahathir ialah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Johor. – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mana mungkin Sultan Selangor hendak berdendam dengan Mahathir yang langsung tidak berkaitan dengan politik. Selagi Mahathir belum minta maaf, selagi itulah isu ini bakal menghimpit Harapan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Tun M seharusnya menghormati titah Sultan Selangor.. buat permohonan maaf secara terbuka.. Tun M mungkin sudah nyanyuk agaknya.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan