Polis pasti akan panggil Dr Mahathir berhubung kenyataan Bugis, kata KPN 


Looi Sue-Chern

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, bila Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil untuk beri keterangan berhubung kenyataan yang didakwa menghina masyarakat Bugis itu bergantung kepada pegawai penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

POLIS pasti akan memangil Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan yang didakwa menghina masyarakat berketurunan Bugis, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun .

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pengerusi Pakatan Harapan itu akan dipanggil untuk diambil keterangan. 

“Ia bergantung kepada pegawai penyiasat tetapi kita pasti akan memanggil beliau. 

“Berikan kami masa,” katanya pada sidang media di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.

Pada perhimpunan “Sayangi Malaysia, hapuskan kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, Dr Mahathir menyelar Perdana Menteri Naib Razak sebagai keturunan “lanun Bugis”.

Majlis raja-raja pada 2 November lalu mengeluarkan dua kenyataan yang menyatakan kemurkaan sultan terhadap ucapan Dr Mahathir, dan menggesa pihak polis menyiasat bekas perdana menteri itu kerana didakwa mencetuskan kebencian terhadap Bugis. 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meluahkan kekesalan dengan kenyataan Dr Mahathir itu. 

Baginda memberitahu The Star dalam satu sesi temubual bahawa Dr Mahathir mempunyai sikap rendah diri dan kemarahannya boleh “membakar negara”.

Fuzi turut mengesahkan ahli politik DAP Zaid Ibrahim, yang membuat kenyataan menerusi Twitter bahawa Sultan Sharafuddin perlu berhati-hati dengan apa yang dititahkan berikutan komen terhadap Dr Mahathir, akan memberi kenyataan di Bukit Aman esok.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan,” kata Fuzi. 

Sementara itu, ditanya perkembangan siasatan skandal kerugian forex Bank Negara Malaysia, Fuzi berkata pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes itu kini masih meneruskan siasatan. 

“Ia masih berjalan. Ia bukan mudah kerana ramai yang akan dipanggil untuk mendapatkan keterangan mereka.

“Apa yang perlu dilakukan, akan dilakukan secepat mungkin,” katanya yang berada di Pulau Pinang untuk upacara penutup Persidangan Polis Bantuan. 
  
Bulan lalu, laporan 400 muka surat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal terbabit yang bertajuk ” Suruhanjaya untuk menyiasat kerugian perdagangan forex Bank Negara Malaysia pada 1990-an” meminta polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan. 

“Suruhanjaya itu merupakan salah satu pandangan daripada fakta yang diberikan bahawa terdapat asas untuk mencadangkan kepada polis bagi menyiasat secara rasmi kemungkinan terdapat pelanggaran undang-undang dan penyelewengan oleh BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” katanya. 

Berikutan cadangan laporan RCI, setiausaha suruhanjaya itu Dr Yusof Ismail, yang juga setiausaha unit pelaburan strategik Kementerian Kewangan, membuat laporan polis.

Ia membawa kepada penubuhan pasukan khas yang diketuai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh untuk menyiasat kes terbabit. – 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen