TIDAK ada unsur jenayah dijumpai ketika polis mengunjungi rumah pastor Joshua dan Ruth Hilmy yang hilang di Kampung Tunku, siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) didengar hari ini.
DSP Supari Muhammad merupakan saksi ke-15 dalam siasatan mengenai kehilangan pastor dan isterinya itu yang mengunjungi rumah mereka pada 2017 berkata tidak ada yang mencurigkan di rumah pasangan berkenaan.
“Tidak ada yang mencurigakan. Rumah itu juga tidak berada dalam keadaan huru-hara.
“Tidak ada unsur jenayah jadi saya serahkan kes itu kepada OCS (ketua polis Sungai Way),” katanya hari ini.
Supari merupakan bekas Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dari 2017 hingga 2018.
Dia kemudian dipindahkan ke Balai Polis Daerah Melaka Tengah.
Supari pergi ke rumah mereka seminggu selepas rakan Joshua, Peter Pormanan membuat laporan polis pada Mac 2017.
“Saya pergi ke rumah dengan Peter dan salah seorang pegawai saya.
“Saya pergi kerana mahu memeriksa alamat pasangan berkenaan dan juga melihat sekiranya ada mayat di situ,” katanya.
Pegawai Suhakam Simon Karunagaram kemudian bertanya adakah dia mengambil sebarang gambar.
Supari berkata bahawa dia tidak mengambil gambar tetapi telah mengarahkan pegawai penyiasat melakukannya dan merakam kenyataan.
Simon kemudian bertanya kepada Supari adakah semasa lawatannya dia ada melihat sesuatu yang luar biasa.
Pegawai polis itu berkata dia tidak melihat perkara luar biasa.
Pesuruhjaya Madeline Berma kemudian bertanya kepada Supari adakah gambar diambil selepas kunjungan itu.
Supari berkata bahawa gambar diambil tetapi dia belum melihatnya.
Berma kemudian bertanya kepada Supari mengapa dia berpendapat tidak ada unsur mencurigakan dan jika pasangan itu pergi dengan tergesa-gesa.
Supari berkata bahawa semuanya kelihatan normal.
“Rumah itu berkunci dan tidak ada jalan masuk. Tidak ada pakaian atau barang lain yang berselerak di lantai,” katanya.
Simon kemudian bertanya apakah ada kaitan antara Joshua dan kes Pastor Raymond Koh yang hilang.
Supari berkata bahawa ia sama sekali tidak ada kaitan.
“Polis meneliti banyak sudut dan salah satu sudut yang kami lihat adalah kedua-dua menyebarkan agama Kristian,” katanya.
Dia juga menambah bahawa polis sedang mencari kes orang hilang dan tidak secara khusus melihat kegiatan keagamaan mereka.
Tidak banyak yang diketahui mengenai Joshua dan Ruth yang dipercayai menjadi mangsa kehilangan paksa.
Pada 2018 dua tahun selepas mereka hilang, adik beradik Ruth membuat laporan mengenai orang hilang.
Keluarganya berasal dari kampung nelayan Nambiki di utara Sumatera.
Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendefinisikan kehilangan paksa apabila seseorang diculik secara senyap-senyap atau dipenjarakan oleh negara atau organisasi politik atau oleh pihak ketiga dengan kebenran, sokongan atau persetujuan negara atau organisasi politik.
Panel Suhakam diketuai oleh Hishamuddin dibantu oleh pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline.
Siasatan akan disambung pada 7 Oktober. – 21 September, 2020.
Komen