Tak ada bukti kukuh Pastor Joshua hina Islam


Noel Achariam

Suhakam sedang menjalankan inkuiri awam bagi menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

TIDAK ada bukti kukuh yang mengaitkan Pastor Joshua Hilmy menghina Islam dalam sebuah tuduhan di Facebook pada Jun 2014, siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mengenai pastor itu didengar hari ini.

Saksi ke-12 Inspektor Nurul Huda Bustami berkata pada 2014 beberapa laporan dibuat di Rembau, Negeri Sembilan terhadap Hilmy kerana menghina Islam.

“Kami telah menerima laporan tersebut dan memulakan siasatan pada Jun. Setelah empat bulan maklumat dikumpulkan, dia kemudiannya diletakkan dalam senarai individu dikehendaki.

“Kami kemudian menyampaikan laporan kepada Peguam Negara yang mengklasifikasikannya sebagai NFA (tiada tindakan lanjut),” katanya.

Hasil siasatan laporan polis pertama dibuat pada 27 Jun 2017 oleh Ketua Wira Perkasa Chembong Salam Sarip.

Dalam laporan itu dia mendakwa Hilmy telah menghina Islam dan meminta polis mengambil tindakan terhadapnya.

Dia kemudian berkata dua laporan lain mengenai isu sama dibuat terhadap Hilmy.

Nurul berkata pengadu telah menunjukkan tangkapan skrinnya mengenai catatan yang didakwa.

“Dia menunjukkan satu tangkapan skrin yang dipercayai dari laman Facebook Hilmy,” katanya. 

Dia kemudian menghubungi unit jenayah siber Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Unit jenayah siber mengatakan bahawa mereka tidak dapat mencari apa-apa, dan SKMM juga tidak dapat menemui siaran berkaitan,” katanya.

Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma bertanya kepada Nurul Huda: “Adakah anda masuk Facebook dan mengesahkannya?”.

Saksi berkata bahawa dia mencari kandungan muat naik yang didakwa di laman sosial berkenaan, tetapi tidak dapat mengingati kandungan siaran itu.

Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus juga mempersoalkannya mengenai kesahihan siaran itu.

“Jadi, tidak ada banyak bukti untuk mengaitkan Joshua dengan siaran itu?” soalnya.

Nurul Huda berkata dia melakukan siasatan berdasarkan tangkapan skrin yang diterima.

Polis tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Joshua dan Ruth, yang disyaki menjadi mangsa kehilangan paksa. Pada 2018, iaitu dua tahun selepas mereka hilang, adik-beradik Ruth membuat laporan polis. 

Keluarga Ruth tinggal di perkampungan nelayan di Nambiki di Sumatera utara.

Undang-undang hak asasi manusia mentakrifkan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa sahaja bentuk kehilangan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau oleh orang, atau kumpulan, yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.

Panel inkuri Suhakam dipengerusikan oleh Hishamuddin, dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.  –  2 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen