Terlalu banyak masa sudah berlalu untuk siasat kehilangan pastor


Noel Achariam

Jurujual insurans Peter Pormannan berkata beliau belum dipanggil oleh Suhakam untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

SUDAH terlalu lama masa berlalu untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam berkenaan kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, kata teman baik pasangan itu.

Jurujual insurans Peter Pormannan mengenali pasangan itu sejak 2012 dan individu pertama membuat laporan pertama apabila mendapati mereka hilang pada 2017.

Minggu lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan akan mengadakan siasatan awam terhadap kehilangan pasangan itu pada Februari.

Tetapi Pormannan, 57, skeptikal yang siasatan itu akan memberikan keputusan yang baik.

“Mereka hilang tanpa jejak. Walaupun laporan polis dibuat, tanpa maklumat, sukar untuk menjejaki mereka kerana tiada saksi atau pengetahuan tentang di mana mereka berada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suhakam mengumumkan siasatan awam itu akan diadakan 18 Februari tetapi Pormannan berkata sebagai rakan baik pasangan itu dan individu yang membuat laporan orang hilang, beliau belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sukar untuk Suhakam tetapi saya berharap mereka dapat merungkaikan misteri ini.

“Joshua kadangkala ke luar daerah tetapi dia biasanya sentiasa berhubung.

“Tetapi selepas tidak mendengar khabarnya selama berbulan-bulan, saya membuat laporan polis pada 6 Mac, 2017.

“Ada kemungkinan sesuatu berlaku terhadap pasangan itu. Mungkin ada orang yang tidak senang dengan Joshua yang dikatakan menukar agama, saya tidak tahu,” katanya.

Kumpulan CAGED memegang poster empat individu yang dipercayai hilang termasuk Joshua Hilmy dan isterinya Ruth pada satu program di Dataran Merdeka pada 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

Di sebalik semua keraguan itu, Pormannan berkata beliau gembira jika siasatan awam itu akan memberi petunjuk tentang apa yang berlaku terhadap pasangan itu, dan perlu ada penutup serta kesimpulan bagi kes ini.

Joshua, ialah seorang Melayu Muslim yang murtad dan menukar agama kepada Kristian dan Ruth, dengan nama keluarganya Sitepu, kali terakhir dilihat pada 30 November, 2016.

Tidak banyak yang diketahui tentang pasangan itu, sehinggalah laporan polis dibuat oleh abang Ruth, Iman Setiawan Sitepu dan adiknya, Ram Ram Elisabeth pada 2018.

Keluarga Ruth tinggal di perkampungan nelayan di Nambiki di utara Sumatera, Indonesia. Mereka tahu tentang kehilangannya pada Mac 2017 tetapi tidak dapat datang ke Malaysia lebih awal kerana kekangan kewangan.

Kali terakhir keluarga bercakap dengannya pada November 2016.

Mereka memberitahu Suhakam yang Ruth kedengaran riang dan tidak ada masalah, menambah dia biasanya menghubungi keluarga dua kali sebulan.

Iman berkata Ruth datang ke Malaysia pada 2000 dan bekerja di sebuah kedai jahit di Ipoh, Perak. Dia bertemu Joshua di Perak pada 2004 dan berkahwin pada 2006. Mereka kemudian pulang ke Indonesia bertemu keluarga Ruth.

Katanya, pasangan itu kembali ke Malaysia dan pulang semula ke Nambiki pada 2007 di mana mereka mula membuka ladang ikan. Mereka tinggal di situ sehingga 2009 sebelum kembali ke Malaysia.

Mereka pulang semula ke Indonesia pada tahun sama kematian Ruth, dan itu kali terakhir pertemuan mereka, tetapi sering berhubung.

Suhakam berkata siasatan awam terhadap kehilangan Joshua dan Ruth akan bermula 18 Februari dengan panel dipengerusikan oleh pesuruhjaya Hishamuddin Yunus, dibantu pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Suruhanjaya itu menggesa sesiapa yang ada maklumat berkenaan pasangan itu untuk tampil merakamkan keterangan mereka.

Ini siasatan awam diadakan oleh Suhakam di mana sebelum ini siasatan awam diadakan terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, sejak 2018, dan memutuskan bahawa kedua-duanya kes kehilangan paksa.

Dalam kes Koh dan Amri, panel Suhakam sebulat suara mendapati Cawangan Khas dari ibu pejabat polis menculik kedua-duanya dalam satu operasi ala komando.

Amri diculik pada 24 November, 2016. Dalam siasatan awam, didedahkan pada masa itu, Amri dalam perhatian polis kerana didakwa terbabit dengan aktiviti Syiah.

Koh diculik pada 13 Februari, 2017. Laporan polis dibuat terhadapnya beberapa bulan kemudian kerana didakwa memurtadkan golongan belia. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen