Suhakam kecewa saksi siasatan pastor hilang kurang bersedia


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus berkata beliau kecewa dengan kekurangan maklumat daripada saksi ke-13 Asisten Superintendan Hairol Azhar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

SUHAKAM yang mengendalikan siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Joshua dan isterinya Ruth Hilmy melahirkan rasa kecewa apabila saksi yang hadir memberi keterangan hari ini kurang bersiap sedia. 

Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus berkata beliau kecewa dengan kekurangan maklumat daripada saksi ke-13 Asisten Superintendan Hairol Azhar.

“Seorang pegawai yang datang ke siasatan mesti bersiap sedia. Saya agak kecewa dan hampa,” katanya selepas saksi tidak dapat memberikan jawapan tepat untuk soalan yang diajukan kepadanya.

“Dia mungkin perlu meminta tarikh lain (jika tidak bersedia)?,” tambahnya.

Beliau berkata, Hairol yang datang jauh dari Kemaman, Terengganu sepatutnya diberi lebih banyak masa untuk membuat persiapan.

Mereka berkata Hairol sepatutnya diberi dua hingga tiga hari untuk mendapatkan buku harian siasatan daripada pegawai penyiasat Sungei Way.

Hairol merupakan ketua Balai Polis Sungai Way pada 2018 ketiga dia ditugaskan untuk mengesan Joshua dan Ruth.

Dia mengendalikan kes itu selama 18 hari pada 2018 dan menyerahkan laporan kepada ketua jabatan siasatan jenayah pada 23 Oktober tahun yang sama sebelum dipindahkan ke Terengganu. 

Hishamuddin juga bertanya kepada Hairol sekiranya dia telah berunding dengan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan.

Hairol berkata dia tidak dapat mengingat apakah dia sudah bercakap dengan pegawai penyiasat berkenaan.

“Saya tidak tahu dan tidak bertanya. Saya hanya diminta untuk menyiasat kes ini oleh ketua jabatan siasatan jenayah,” katanya.

Pegawai Suhakam kemudian bertanya adakah dia tahu mengenai kehilangan Joshua dan Ruth.

Dia kemudian menjawab tidak tahu mereka hilang dan hanya mendapat tahu pada 2018 ketika mengambil alih kes berkenaan.

Pesuruhjaya Madeline Berma kemudian berkata bahawa kehilangan mereka sudah tersebar di seluruh media sosial, portal berita dan surat khabar.

Hairol menegaskan bahawa dia tidak tahu sehinggalah mengambil alih kes berkenaan. – 10 September, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen