UndiSabah harap anak muda mengundi 26 September


Chan Kok Leong

MUDA, bijak bercakap dan peramah, Mahirah Marzuki, Fiqah Roslan dan Ariff Adi Putera sekilas pandang tidak banyak beza dengan anak muda Sabah yang lain.

Tetapi, tidak seperti anak muda seusia mereka, ketiga-tiga mereka mempunyai misi serupa- memberi inspirasi kepada anak muda Sabah yang lain tentang kepentingan pilihan raya, hak dan merealisasikan potensi mereka.

“Kami bentuk UndiSabah bersama-sama Undi18 walaupun ia masih belum dibentuk dan bergerak lagi,” kata Mahirah ketika ditemui di kedai Kopi Ping di Riverson, sebuah bangunan kondominium baharu di Kota Kinabalu.

Undi18 adalah kempen dimulakan pada 2019 oleh aktivis sosial Tharma Pillai dan Qyira Yusri bermatlamat menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya kepada 18 daripada 20 tahun. 

Peguam berusia 25 tahun itu mengasaskan UndiSabah bersama-sama Fiqah, Ariff, sukarelawan daripada kumpulan masyarakat sivil Sabah seperti Borneo Speaks dan beberapa ahli Parlimen Digital yang bergabung di bawah payung Undi18 baru-baru ini, berkata matlamat mereka mudah.

“Kami mahu menghantar mesej bahawa ahli politik tidak boleh bertindak bercanggah dengan mandat diberi pengundi dan berubah sesuka hati mereka.

“Dan kami mahu membantu anak muda Sabah sedar potensi mereka dan kuasa yang mereka ada di kotak undi,” kata Mahirah.

Tambahnya, majoriti anak muda Sabah sangat kecewa dengan pembubaran DUN yang berlaku Julai lalu.

Kebanyakan anak muda yang ditemui berkata mereka bersedia memberikan Warisan satu lagi peluang membuktikan kebolehan mentadbir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Husaain, 16 September, 2020.

Kehampaan anak muda

Sabah mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-16 hanya selepas 26 bulan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. DUN dibubarkan selepas rancangan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional merampas pentadbiran negeri daripada Warisan gagal.

Rancangan itu adalah kesinambungan cubaan PN untuk mengambil alih negeri pentadbiran Pakatan Harapan selepas ia berkuasa di Putrajaya, Februari lalu. Empat negeri- Kedah, Perak, Melaka dan Johor sudah jatuh ke tangan PN selepas adegan lompat parti dilakonkan Adun negeri berkenaan.

Di peringkat Persekutuan, PN dibentuk selepas 10 ahli Parlimen diketuai Mohamed Azmin Ali keluar parti mereka, PKR, dan Bersatu diketuai Presiden Muhyiddin Yassin keluar daripada PH. Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri, Azmin pula sebagai menteri kanan kerajaan baharu.

“Sangat mengecewakan untuk lihat orang yang anda undi pada PRU14 lompat parti. Semua ini perlu dihentikan dan kami rasa satu cara UndiSabah boleh buat adalah berarak, mendidik dan menginsprasikan anak muda Sabah yang akan mengundi 26 September ini,” kata Mahirah.

Tambahnya, walaupun wujud rasa kecewa dengan situasi semasa, UndiSabah berharap ia dapat meningkatkan kesedaran yang anak muda masih boleh buat “sesuatu” di kotak undi untuk mengubah keadaan.

“Kami harap anak muda tak menyerah mudah sangat.”

Kejadian yang berlaku dalam politik Sabah sejak kebelakangan ini dikaitkan dengan “katak” politik.

Dalam satu forum di Universiti Malaya baru-baru ini, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata: “Banyak lagi perkara kita tak pasti tentang Pilihan Raya Negeri Sabah, tetapi satu perkara yang kita tahu budaya lompat parti stabil di negeri itu.”

Menurut kajian Ilham Centre, 40.9% daripada 1.12 juta pemilih berdaftar pada PRN Sabah kali ini adalah pengundi muda yang ditakrifkan berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Kumpulan usia 40 hingga 60 tahun pula sebanyak 39.1% dan golongan berusia atas 60 tahun pula sebanyak 20%.

Walaupun Sabah kaya sumber, negeri itu adalah negeri termiskin di Malaysia dengan 50% penduduknya miskin tegar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2020.

Kerja, gaji rendah dan kos sara hidup

Fiqah,25, menyewa bersama dua lagi rakan di Penampang dengan sewa RM1,500 sebulan. Dengan gajinya yang kurang RM2,000 sebulan, beliau memandu setiap hari ke tempat kerja di Kota Kinabalu, hampir 30 km dari rumah sewanya setiap hari.

“Cukup-cukup makan,” kata Fiqah yang bekerja dalam industri media.

Gaji hampir tahap minimum diperolehinya hanya cukup-cukup menampung perbelanjaan bulanan.

“Ini masalah biasa anak muda Sabah,” katanya.

Menurut Pengarah Ilham Centre Hisomuddin Bakar, kebanyakan anak muda berdepan masalah sama di Sabah, yang saiznya hampir sama dengan Semenanjung.

“Tak banyak kerja pengeluaran di sini dan ramai yang terpaksa pindah ke Malaysia Barat untuk cari kerja. Disebabkan wabak Covid-19 pula, ramai yang hilang kerja sektor pelancongan yang bergaji lebih baik sedikit,” kata Hisomuddin yang menjalankan kajian Ilham di Sabah. 

“Anak muda yang hilang kerja ini mula perlahan-lahan balik kampung halaman tetapi di kampung pun tidak ada banyak kerja juga.”

Mobiliti sosial sukar berlaku di Sabah kerana kekangan peluang pendidikan, ekonomi dan sosial ditambah pula dengan budaya katak politik yang menghampakan anak muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2020.

Katanya lagi, ramai anak muda juga tidak dapat menyambung pengajian mereka selepas Tingkatan 5 kerana kebanyakan universiti dan kolej hanya berpusat di Kota Kinabalu, Labuan dan Semenanjung.

Ini menyukarkan mobiliti sosial apabila ramai anak muda tidak dapat bergerak ke kelas kehidupan lebih baik, kata Hisomuddin.

Walaupun Negeri Bawah Bayu itu kaya sumber asli, Sabah masih menjadi negeri termiskin di Malaysia dengan 50% penduduknya miskin tegar.

Pada 2019, KNDK Sabah per kapita adalah RM25,861, separuh daripada negeri jirannya Sarawak (RM52,301) dan empat kali ganda jauh lebih rendah daripada Kuala Lumpur (RM121,993).

Kadar pengangguran di Sabah juga tinggi, purata 5.4% pada 2016 dan meningkat 5.8% pada 2018 daripada 3.8 juta penduduknya menganggur berbanding purata pengangguran nasional sebanyak 3.4% dalam tempoh sama.

Menyentuh isu “katak”, Hisomuddin berkata ramai anak muda dalam kajian Ilham sejak minggu lepas meluahkan rasa kecewa.

“Mereka rasa Warisan secara tidak adil dicuri peluang untuk mentadbir penuh penggal lima tahun. Ketika ini, kebanyakan mereka bersedia memberikan Warisan satu lagi peluang.”

Banyak perkara tak pasti tentang PRN Sabah, yang pasti budaya katak parti subur di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2020.

Masa suntuk

Di lapangan pula, Mahirah berkata mereka mengejar masa untuk berhubungan dengan semua pengundi muda Sabah.

“Kami cari orang dari pelbagai daerah seperti Sandakan, Tawau, Semporna, Kudat untuk terlibat menerusi media sosial.

“Kami juga mula menganjurkan seminar web dan akan mengadakan sidang kemuncak di Kota Kinabalu pada 19 hingga 20 September ini. Kami juga menerbitkan maklumat pilihan raya di semua platform media sosial dan mengumpul senarai tuntutan atau isu panas yang anak muda Sabah mahu selesaikan di akaun Facebook kami.

“Kami mahu anak muda Sabah berubah daripada mengundi personaliti dan hubungan suku yang diwariskan daripada ibu bapa mereka. Kami harap mereka mengundi ikut isu dan calon dan bukannya parti lagi,” kata Mahirah.

“UndiSabah bukan soal memimpin anak muda tetapi ia pergerakan untuk anak muda.” – 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen