Musa Aman dakwa peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan Sabah


BEKAS ketua menteri Sabah, Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Sabah.

Musa yang juga Adun Sungai Sibuga dalam satu kenyataan berkata, gabungan baharu itu dibentuk bersama dengan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pelbagai parti.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai daripada 65 Adun Sabah yang menyokong gabungan baharu itu.

Menurutnya Menteri Keselamatan Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan setiausaha politik kepada perdana menteri, Nardin membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin pagi tadi.

“Mereka membuat kunjungan hormat untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

“Tuan Yang Terutama meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka.

“Saya menerima surat akuan bersumpah Adun yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya.

Musa berkata, kerajaan gabungan baru akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan kerajaan di bawah Parti Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak Covid-19.

“Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,” katanya.

Bekas pengerusi Umno Sabah itu dilepas dan dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terkait kontrak konsesi balak pada 9 Jun selepas Perikatan mengambil alih Putrajaya.

Kerajaan negeri Sabah kini diterajui Parti Warisan Sabah yang mempunyai 33 Adun dan disokong oleh Upko (3) dan Pakatan (9) menjadikan jumlah sokongan 45 Adun.

Di pihak pembangkang terdiri daripada Bersatu (9), Umno (1), PBS (4), Star (3) dan tiga bebas menjadikan 20 sokongan.

Sabah merupakan negeri Pakatan Harapan kelima yang jatuh kepada Perikatan susulan tumbangnya kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan pada Februari. Negeri terbabit adalah Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Negeri yang masih kekal di bawah Pakatan adalah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.– 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen