Musa Aman bebas, pendakwa tarik balik 46 tuduhan 


Bede Hong

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman memohon membatalkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

BEKAS ketua menteri Sabah, Musa Aman dilepas dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terkait kontrak konsesi balak selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pendakwaan semasa kes dipanggil untuk pengurusan kes pada hari ini.

Kes ini ditarik balik lebih kurang tiga minggu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz susulan persetujuan penyelesaian di luar mahkamah melibatkan pemulangan sebahagian wang yang didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram. 

Semasa sebutan semula kes pada hujung Februari lalu, peguam Musa, Francis Ng memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memfailkan permohonan untuk menggugurkan 46 tuduhan tersebut dengan alasan tiada asas.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk membebaskan tertuduh jika mendapati dakwaan terhadapnya tidak berasas.

Musa juga membuat mencabar pendakwaan terhadapnya atas isu perlembagaan dengan alasan kesalahan yang didakwa berlaku di luar Malaysia. 

“Kami gembira pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ini. Hakim (dalam membuat keputusannya) telah berpandukan undang-undang,” kata peguam Musa, Francis Ng kepada The Malaysian Insight.

Beliau memberitahu kes itu asalnya ditetapkan untuk pengurusan kes pada hari ini bagi mendengar dua permohonan oleh pihak pembelaan iaitu membatalkan pertuduhan dan satu lagi, yang membangkitkan isu perlembagaan.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Abdul Hamid pagi ini bagaimanapun memaklumkan kepada hakim pihaknya menarik balik pertuduhan, atas arah Pejabat Peguam Negara.

Ng kemudian meminta mahkamah mengarahkan anak guamnya dilepas dan dibebaskan, sama seperti yang dibuat ke atas lima pertuduhan sebelum ini pada Oktober tahun lalu.

Keputusan hakim ini bermakna Musa, 69, tidak boleh didakwa semula atas pertuduhan yang sama. Musa juga tidak mempunyai pertuduhan jenayah lain terhadapnya.

Musa Aman bersyukur

Dalam satu kenyataan media, Musa bersyukur kerana dengan izin Tuhan, beliau diberikan keadilan untuk membersihkan namanya daripada tuduhan.

“Sesungguhnya Allah Maha Adil dan janjiNya itu benar dan pasti bagi hambaNya yang sabar. 

“Apa yang telah berlaku kepada saya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, saya anggap sebagai ujian dan dugaan Tuhan buat kami sekeluarga,” katanya.

Musa dituduh melakukan jenayah rasuah semasa menjadi ketua menteri Sabah merangkap pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah. 

Beliau didakwa dengan 30 tuduhan mendapatkan suapan bernilai lebih RM220 juta daripada pemilik lapan konsesi balak sebagai imbalan meluluskan konsesi balak kepada 16 syarikat.

Musa juga dihadapkan dengan 16 pertuduhan pengubahan wang haram melalui sebuah akaun bank atas nama Richard Christopher Barnes.

Musa didakwa melakukan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan institusi perbankan di Hong Kong, China, dan Singapura.  – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen