Tonto samseng paling berkuasa


Zainal Rashid Ahmad

APABILA membaca catatan Facebook Ustaz Dr Kamilin Jamilin mengenai ancaman tonto yang secara terang-terangan mengekori pergerakan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ia amat mengejutkan.

Kejadian pada Jumaat lalu satu bukti samseng Tonto masih “berkuasa”. Malah, secara terbuka dan “berleluasa” berani mengancam keselamatan penguatkuasa JPJ.

Kisah Dr Jamilin dengan anggota JPJ sangat menyakitkan hati. Isu gangguan tonto terhadap pasukan penguatkuasa JPJ dan kastam serta pihak polis adalah isu yang bermula sejak tahun 2000.

Dalam status di Facebooknya, Dr Kamilin memulakan cerita mengenai keretanya yang rosak dalam perjalanan ke KLIA.

Apabila berhenti di tepi jalan, Dr Kamilin segera dibantu anggota JPJ. Bukan saja mereka berusaha menukar tayar kereta tetapi anggota JPJ menghantarnya sampai ke KLIA.

Satu sikap amat terpuji. Malah, uniknya anggota JPJ yang bertugas dengan uniform dan berkenderaan rasmi itu tetap membantu walaupun mereka tidak kenal status populariti Dr Jamilin.

“Alhamdulillah ‘ala kulli hal…. Tadi dalam perjalanan ke airport, tayar kereta saya pecah. Hanya beberapa minit kemudian, datang beberapa pegawai JPJ yang menegur dan menghulurkan bantuan. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh membantu,” tulis Dr Jamilin.

Catatan Dr Kamilin seterusnya membuatkan kita bangga dengan sikap anggota JPJ yang prihatin pada masuarakat awam.

“Tanpa disangka sahabat-sahabat JPJ yang baru ditemui tersebut sudi menghantar saya ke airport kerana tahu saya kesuntukan masa dan mereka membawar tayar simpanan gantian saya untuk diisi angin. Alhamdulillah kereta saya dengan bantuan abang saya yang datang selamat dipandu pulang.”

Kejutan terbesar dalam perkongsian Dr Jamilin ialah: “Dalam perjalanan bersama sahabat-sahabat JPJ menuju ke lapangan terbang, kami diekori ke mana saja oleh tiga kereta tonto yang ingin mengganggu tugas JPJ.

“Kami buat dua kali pusingan di bulatan pun mereka ikut tawaf juga. Jika petugas JPJ berhenti, mereka juga akan berhenti dan kadangkala turun mengganggu.”

Membaca kisah yang dimuat naik Dr Jamilin memberikan gambaran yang menakutkan.

Dalam kes keselamatan negara, bukan penguatkuasa JPJ yang memantau tonto tetapi berlaku sebaliknya.

Samseng upahan penjenayah terancang ini sudah dua dekad bermaharaja lela. Malah, masih yang “berkuasa” memantau pergerakan anggota JPJ.

“Anggota JPJ mengadu kepada saya betapa sukar sebenarnya tugas mereka dengan gangguan tersebut.

“Mereka akan ekori ke mana saja untuk memberi tekanan dan ancaman. Tonto itu juga akan melaporkan pergerakan tersebut kepada geng mereka,” tulis Dr Kamilin.

Sebagai wartawan yang pernah bertugas di meja jenayah, sebaik saja membaca penjelasan ini, saya berasa sangat kecewa.

Setelah 20 tahun sejak Tonto mula wujud dengan modus operandi sebagai pengintip dan samseng bagi geng penjenayah di negara, mereka masih gagal dihapuskan. Malah, kekal menjalankan kegiatan mengganggu keselamatan dan urusan kerja pihak berkuasa.

Kalau kita rujuk laporan media massa sejak 2000, ketika jenayah tonto mula didedahkan, keberanian samseng jenayah terancang ini memang sangat “daring”.

Mereka bukan saja mengancam keselamatan pasukan JPJ, malah pernah dilaporkan memantau pergerakan pihak polis dengan berada di depan balai.

Apabila pasukan polis keluar mengadakan operasi terutama menyerbu pusat hiburan, pelacuran dan mesin judi, tonto lebih awal melaporkan pegerakan konvoi pasukan polis. Malah, konvoi operasi polis diekori dari belakang.

Tonto akan melaporkan kepada operator kelab malam, pusat mesin judi dan sasaran kawasan pelacuran mengenai pergerakan konvoi polis.

Rasanya sudah sampai masa, polis mencari jalan memghapuskan ancaman tonto ini secara tuntas.

Tidak masuk akal apabila kita terus membaca kisah betapa berkuasanya samseng tonto di negara ini.

Apalagi gangguan harian penjenayah tonto yang berani secara terang-terangan mengekori dan mengancam keselamatan pasukan beruniform. – 13 September, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen