Covid-19: Media massa perlukan lebih akses


Zainal Rashid Ahmad

AKSES media massa supaya dapat memberikan laporan lebih proaktif perlu diberikan perhatian dalam membantu kerajaan menangani Covid-19.

Apalagi dalam keadaan masyarakat masih bercelaru walaupun setelah empat hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Masyarakat yang panik serta dikelirukan banyak berita palsu di media sosial mengalami gangguan penapisan maklumat.

Tanpa akses meluas dan peranan lebih progresif, media massa akan gagal meredakan imbangan maklumat di media sosial secara jam ke jam.

Media massa tidak wajar dibiarkan bergantung hanya pada laporan harian mengenai jumlah pemulihan dan jangkitan baharu Covid-19.

Kekurangan maklumat terkini per jam menyebabkan ruang waktu masyarakat dipenuhi dengan khabar angin dan maklumat palsu.

Risiko kegelisahan awam sentiasa tinggi saban hari. Terutama ketika maklumat palsu muncul antara senggang waktu. Keadaan jadi lebih teruk apabila pihak berkuasa tidak menanganinya dengan segera.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) wajar lebih banyak menyalurkan maklumat kepada media massa.

Perkembangan PKP terutama titik panas kawasan “lengkungan kawalan penyebaran wabak” perlu dikongsi secara terbuka dan terperinci secara kerap setiap hari.

Masyarakat perlu tahu tahap keseriusan jangkitan mengikut lengkungan kawasan yang terlibat, serta senarai kawasan titik panas tempat jangkitan bergerak dari masa ke masa.

Ini sesuai dengan amaran terkini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengingatkan: “Perhimpunan akan menguatkan lagi bahaya Covid-19. Malah boleh membantu menyebarkan penyakit berkenaan jauh dari pusatnya.”

“Ia menjadi sangat, sangat, sangat, sangat berbahaya dari segi pengurusan epidemik,” katanya.

Penting perkongsian maklumat

Apabila semua maklumat dan data kawasan lengkungan jangkitan dikongsi, masyarakat akan dapat melihat secara terperinci zon bahaya serta tindakan lebih berwaspada.

Ini membolehkan tiap individu dan keluarga meningkatkan tahap kewaspadaan mengikut pergerakan usaha CPRC mengawal jangkitan.

Akses pengkongsian maklumat yang lebih luas akan memudahkan usaha mencapai matlamat asal PKP bagi mengawal Selangor dan Kuala Lumpur umpamanya; kini titik panas utama wabak Covid-19. Cuma, radius kawasan Lembah Klang terlalu meluas.

Tanpa perkongsian perincian titik panas membuatkan masyarakat tidak pasti kedudukan perkembangan zon di mana wabak aktif menular.

Ini maklumat yang wajar dikongsi CPRC secara per jam paling tidak bermula 8 pagi hingga 12 malam.

Selain CPRC, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh terus menjelaskan perkembangan semasa.

Laporan terkini mengenai arahan polis juga perlu disebarkan setiap jam. Ini penting untuk membolehkan masyarakat tidak bergantung pada sumber berita palsu.

Media massa wajar diberikan lebih akses dan maklumat yang lebih terperinci. Peranan laporan media penting bagi memastikan masyarakat bertindak balas dan turut berperanan secara pro aktif.

Sumber maklumat rasmi pihak berkuasa juga perlu memberikan respon pantas mengikut keperluan semasa.

Kecelaruan akibat sebaran maklumat palsu di media sosial perlu diatasi dengan respon balas yang pantas daripada sumber rasmi.

Lebih maklumat akan membina lebih komitmen

Sekiranya CDRC menyediakan pergerakan maklumat per jam mengenai lengkungan wabak, serta pergerakan jangkitan, proses kesiagaan sosial dapat dibentuk secara per jam dalam melaksanakan PKP.

Ini akan memberikan lebih kesedaran kepada masyarakat, terutama perkembangan di zon aktif sekitar Lembah Klang, Johor dan Sabah.

Perincian zon jangkitan turut membantu penyusunan keperluan pergerakan awam di kawasan yang dilaporkan perlu.

Malah, sekiranya perlu semua pergerakan wajar dihentikan sama. Apa lagi sekiranya angka jangkitan melepasi garis kritikal.

Aktiviti PKP tidak wajar mendatar di seluruh negara kerana zon lengkungan jangkitan sangat dinamik mengikut lokasi.

Komitmen harian KKM berkongsi angka jangkitan dan kesembuhan tidak memadai. Kita perlukan lebih maklumat bagi mengimbangi kebimbangan awam.

Akses maklunat perlu dinamik sekiranya kita mahu mencapai keputusan terbaik dalam 14 hari pelaksanaan PKP.

Perkongsian radius pergerakan jangkitan juga memudahkan pihak polis melaksanakan kawalan PKP.

Setiap tindakan mengetatkan peraturan PKP akan difahami masyarakat apabila radius lengkungan jangkitan dikongsi.

Kes-kes memalukan

Dua kes pengabaian PKP di Kedah amat memalukan. Majlis kenduri perkahwinan diteruskan di Derga dan jamuan kepala kambing di Jalan Langgar berlaku kerana masyarakat tidak berdisiplin.

Tetapi tidak mudah mendisiplinkan mereka sekiranya akses maklumat yang dikongsi sangat asas. Malah, gagal menampakkan keadaan bahaya di zon masing-masing.

Malah, pada hari ketiga PKP, pasar awam di Petaling Jaya masih beroperasi seperti biasa. Sedangkan lengkungan jangkitan di Lembah Kelang sangat kritikal.

Begitu banyak video yang dikongsi menggambarkan masyarakat masih tidak mempedulikan PKP. Isu utama ialah tahap kesedaran mengenai bahaya Covid-19.

Imbangan maklumat gagal dilaksanakan. Walaupun media sosial dilimpahi berita-berita bodoh tetapi ia memberikan pengaruh apabila tidak ditangani dengan pantas.

Kita berbalik pada idea berkongsi realiti keadaan lengkungan jangkitan. Ia mesti boleh diakses media massa secara kerap sebagai imbangan maklumat.

Seterusnya dikongsi kepada masyarakat. Tanpa sumber maklumat yang dinamik, vakum masa jam ke jam akan dicemari berita palsu.

CPRC harus mengemas kini maklumat setiap 60 minit. Pengumuman langsung kepada media massa perlu dibuat secara per jam.

CPRC perlu bersikap proaktif. Manakala, bilik berita harus pantas menyalurkan maklumat. Ketika negara berdepan ancaman maut, stesen televisyen tidak wajar kekal leka dengan siaran tidak relevan.

Siaran drama dan program hiburan bukan satu prioriti ketika negara berdepan dengan krisis begini.

Tahniah kepada RTM dan Astro Awani kerana keprihatinan luar biasa dalam penyebaran aklumat secara kondusif.

Manakala, portal atas talian yang selama ini sangat politik beritanya, turut beralih mengutamakan isu Covid-19.

Zaman wartawan mengutip berita sekadar berita sudah berakhir. Atau era editor dan produser bekerja dengan sekadar menunggu menyiarkan kenyataan media sudah berlalu.

Ini waktu bekerja dengan keprihatinan luar biasa.

Baki sembilan hari PKP akan kekal tegang. Kita sedang berjuang menyelamatkan negara daripada menjadi korban seteruk China, Itali, Iran, Perancis dan Korea Selatan. – 22 Mac, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen