Peniaga kecil tinggalkan premis sewa


Zainal Rashid Ahmad

PENIAGA kecil yang menyewa kedai di sekitar Kuala Lumpur kini berdepan dengan kenyataan terpaksa berpindah kerana tidak mampu melunaskan sewa.

Selain tunggakan sewa sedia ada antara dua hingga lima bulan, mereka yakin keadaan bisnes akan semakin teruk sekali pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik pada 28 April ini.

“Perniagaan perlahan sejak 2015, tetapi setelah PKP dilaksanakan serta keadaan ekonomi yang bakal meleset selepas ini, kalau terus menyewa kedai, ia hanya menambahkan kerugian,” kata mereka.

Mohammad Jamil Kadir menyewa kedai di Dwi Tasik Permaisuri, Bandar Seri Permaisuri, Cheras dan menjalankan peniagaan barangan terpakai yang import dari Jepun.

“Sebelum ini saya menanggung beban kos kerana kejatuhan ringgit. Kos meningkat 25% sejak ringgit melepasi paras RM4 berbanding AS$1 pada 2016,” katanya.

Selain kerugian akibat kejatuhan ringgit, kos sewa kedai RM3,000 sebulan mulai terasa tidak berbaloi berbanding pendapatan jualan perniagaan.

Bagi Jamil, kos gaji dua pekerja, kini beban di luar kemampuan.

Selepas lima minggu perniagaan ditutup kerana PKP, impak pendapatan semakin teruk. Selain gagal menjana pendapatan harian, kos sewa kedai perlu terus dibayar.

“Saya memberikan setengah gaji kepada dua pekerja sepanjang cuti PKP dan sudah memaklumkan, April bulan terakhir bekerja,” katanya.

Jamil terpaksa menutup kedai walaupun menanggung kerugian kos ubah suai kedai sekitar RM25,000 yang dibelanjakan ketika memulakan perniagaan.

Selain hilang pendapatan melalui hasil jualan di kedai, PKP turut menyebabkan peniaga kecil seperti Jamil kehilangan pendapatan alternatif.

“Dulu, bagi menampung kemerosotan jualan di kedai, saya membawa jam tangan, kamera terpakai, pakaian, beg tangan dan kaca mata ke pasar pagi ‘car boot sales’ untuk menambah pendapatan,” katanya.

Sekarang, enam minggu tanpa perniagaan, dan hutang sewaan makin meningkat, Jamil tiada pilihan.

Jualan murah online punca rugi

“Orang heboh soal meniaga online. Padahal ribuan peniaga seperti kami sudah meneroka peniagaan di Facebook dan Instagram sejak lima tahun lalu,” kata Jamil.

Media sosial katanya, memiliki budaya jualan murah. Setiap kali sesuatu barang dimuat naik, pembeli akan membandingkan dengan posting ratusan peniaga lain sebagai perbandingan harga.

“Seorang peniaga di pekan kecil atau memang meniaga sepenuh masa dari rumah secara online pasti menawarkan harga termurah,” katanya.

Bisnes online, kata Jamil, sebenarnya bukan perniagaan jangka panjang kerana budaya bersaing menyebabkan peniaga berlumba menawarkan harga termurah.

Keadaan ini menyebabkan peniaga yang memiliki kos premis, gaji pekerja dan kos penyelenggaraan menanggung kerugian.

“Peniaga separuh masa yang menjalankan bisnes dari rumah menawarkan harga 30% lebih murah. Mereka jual murah kerana tidak perlu menanggung kos premis dan operasi,” katanya.

Bagi Azizi Kadir yang menjalankan perniagaan restoran mee udang, kedai aksesori telefon dan hotel murah di Jalan Raja Bot, perniagaan kini mengalami kerugian berganda.

“Restoran dan kedai aksesori ditutup sepanjang PKP dan saya tidak menerima tempahan bilik sejak 16 Mac,” katanya.

Azizi menganggap krisis perniagaan kali ini yang terburuk sejak memulakan perniagaan 16 tahun lalu.

“Saya mulakan dengan kedai aksesori telefon dan menjual barangan serbaneka. Setelah 12 tahun, baru ada modal menyewa dua lot rumah kedai untuk dijadikan rumah tumpangan,” katanya.

Sekarang, tanpa pendapatan sesen pun dari tiga perniagaan yang dijalankan, Azizi tiada pilihan.

“Saya fikir hotel bajet yang perlu ditutup secepat mungkin. Selepas PKP pun, takkan ada permintaan. Pengusaha akan bersaing harga murah apabila kurang permintaan akibat kemelesetan ekonomi,” katanya.

Azizi berharap menutup hotel bajet akan memberikan ruang mempertahankan restoran dan kedai aksesori telefon.

Suzaimi Hairi Mohd Ton pula, kehilangan pekerjaan apabila menerima notis ditamatkan perkhidmatan oleh sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya.

Walaupun memiliki tujuh tahun pengalaman kerja, Suhaimi baru menyertai majikan hotel sekarang pada Oktober tahun lalu.

Suzaimi meninggalkan hotel lama apabila menerima tawaran gaji lebih baik.

“Apa nak buat, mereka yang baru bekerja ditawarkan berhenti dengan pampasan sebulan gaji,” katanya.

Pada masa sama, keadaan semakin parah apabila bapanya juga perlu menyerahkan kedai sewa di Sungai Besi kerana tidak lagi mampu bertahan.

“Saya berkongsi modal dengan bapa menyewa sebuah kedai untuk dijadikan setor pakaian hari raya. Kami merancang meniaga baju raya pada Ramadan ini,” katanya.

Berikutan pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara, Azizi dan ayahnya menanggung beban untuk menjual stok baju raya yang sudah ditempah.

“Kami mungkin meniaga online, tetapi saya yakin, ribuan peniaga baju raya di seluruh negara akan tertumpu di platform yang sama.

“Lambakan pakaian serta kurangnya pembeli pada tahun ini akan menyebabkan berlaku jualan lelong,” katanya.

Dalam mood sekarang, kata Azizi, peniaga terpaksa menjual secara lelong untuk mengelakkan kerugian lebih teruk. Tiada lagi istilah mencari untung.

“PKP menyebabkan ramai orang kehilangan pendapatan. Siapa yang akan membeli ketika semua orang mulai takut berdepan kemelesetan ekonomi selepas musim perayaan,” katanya. – 22 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen