BN, PBS sepakat tetapi bertembung


Sheridan Mahavera Noor Azam Shairi

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada PRN Sabah, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

GABUNGAN parti yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah terus berunding mengagihkan kerusi antara sekutu, sehari menjelang bermulanya tempoh kempen secara rasmi selepas penamaan calon esok.

Rundingan diteruskan walaupun semalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Parti Warisan Sabah dan sekutunya, atau Warisan Plus, masing-masing mengadakan sidang media dan mengumumkan calon masing-masing.

Tiga sekutu itu adalah blok terbesar yang bersaing untuk merebut 73 kerusi dalam PRN yang ditetapkan pada 26 September ini.

BN di Sabah dan PN, yang melancarkan lambang parti di Kota Kinabalu kelmarin, menjalin kerjasama untuk menentang Warisan Plus, namun bertembung dengan sekutunya Parti Bersatu Sabah pimpinan Maximus Ongkili.

PBS adalah parti yang mendukung PN dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, sementara Maximus adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Kegagalan mencapai kata sepakat dalam PRN ini boleh menyebabkan sekutu blok politik sama meletakkan calon masing-masing di kawasan serupa seterusnya memberi kelebihan kepada pesaing mereka.

Penganalisis berulang kali memberi ingatan yang kejayaan pilihan raya negeri ini bergantung pada kesepakatan pembahagian kerusi selepas beberapa kali pilihan raya menyaksikan kawan jadi lawan mencuri undi walaupun berada dalam blok politik sama.

Warisan Plus terdiri daripada Warisan, Upko, DAP, PKR, dan Amanah. Blok ini memerintah Sabah antara Mei 2018 sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada akhir Julai 2020.

BN pula terdiri daripada Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sementara PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Sehari menjelang penamaan calon, pimpinan gabungan yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional terus berunding untuk bersatu melawan Warisan Plus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

Ketika berita ditulis, sumber dari tiga blok parti politik mengesahkan ada pertembungan kerusi melibatkan: 

* antara Umno (BN) dan Star (PN) di Paginatan;

* antara Umno (BN) dan PBS di Tanjung Aru, Bengkoka, dan Telupid:

* antara PBRS (BN) dan Star (PN) di Tulid dan Sook; 

* antara PBRS (BN) dan PBS di Matunggong, Tandek dan Kadamaian.

* antara PBS dan MCA (BN) di Kapayan dan Karamunting.

Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti dalam PN, BN dan PBS di Kota Kinabalu esok, berdasarkan jemputan liputan yang sampai kepada media.

The Malaysian Insight juga difahamkan tiga parti itu dijangka akan mengumumkan kerjasama atas nama Muafakat Sabah.

Status pengumuman itu bagaimanapun tidak jelas setakat berita ditulis sementara menunggu penyelesaian rundingan kerusi.

Sehingga berita ditulis juga, pimpinan kanan parti berkenaan difahamkan masih mencuba untuk mencari kata sepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri.

MCA malam tadi mengumumkan bertanding empat kerusi termasuk dua kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh Gerakan (Elopura) dan LDP (Likas), dua bekas komponen BN yang keluar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

PBS, yang sebelum ini meminta 25 kerusi, malam tadi mengumumkan bertanding di 15 kerusi dengan menggunakan logonya sendiri.

Lambang dua tangan berjabat dengan latar belakang peta Sabah itu kali terakhir digunakan dua dekad lalu dalam pilihan raya umum 1999.

Pengumuman dua parti itu menyusul pengumuman Umno bertanding 31 kerusi dan PBRS 5 kerusi. 

PN pula bertanding 29 kerusi, dengan Bersatu 19, Star 8, dan SAPP 2, iaitu Luyang dan Tanjung Papat yang pernah ditandinginya dalam hampir semua pilihan raya sebelum ini.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mempertahankan keputusan memberi tujuh kerusi kepada PKR berdasarkan kemampuan boleh menang dan bukannya parti mana lebih ramai ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

Puak Warisan Plus pula mencapai kata sepakat malam tadi apabila PKR setuju bertanding tujuh kerusi, sehari selepas pimpinannya mengumumkan bertanding 14 kerusi.

Tujuh kerusi itu adalah seperti yang diumum oleh Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal pagi semalam.

Tidak lama selepas pengumuman itu, setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerusi Facebooknya bertegas dengan hasrat PKR mahu bertanding 14 kerusi.

Beliau mendakwa PKR mempunyai 170,000 ahli di Negeri Bawah Bayu itu.

Shafie sebelum itu mempertahankan keputusan memberi tujuh kerusi kepada PKR berdasarkan kemampuan boleh menang dan bukannya parti mana lebih ramai ahli.

“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.

“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.

“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya.

Dengan kata sepakat itu, Warisan akan bertanding 46 kerusi sementara Upko 12, DAP 7, PKR 7, dan Amanah 1 iaitu di DUN Tanjung Keramat, dalam kawasan Parlimen Putatan.

PKR masih belum mengumumkan calonnya.

Penganalisis politik Sabah dan Sarawak Dr Jeneri Amir berkata sangat mustahak untuk setiap gabungan politik bersatu dan memastikan parti komponennya tidak bertembung sesama sendiri.

“Calon penting tetapi yang lebih penting adalah jentera dan ahli gabungan politik untuk bekerjasama dan mengundi calon yang dipersetujui mereka,” katanya.

“Jika mereka pecah undi kerana ada ramai calon blok sama, musuh mereka akan ada kelebihan.”

Pemimpin ketiga-tiga blok politik itu masih ada 24 jam untuk mencapai kata sepakat pembahagian kerusi sebelum penamaan calon berlangsung esok. – 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen