Perikatan dilancar, logo diperkenal di Sabah


Chan Kok Leong

Majlis pelancaran itu dirasmikan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainuddin yang juga setiausaha agung Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

SELEPAS seminggu tertangguh, Perikatan Nasional malam ini dilancarkan dan logonya diperkenalkan kepada umum di Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainuddin yang juga setiausaha agung Bersatu.

Antara pemimpin yang hadir ialah Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Presiden Star Jeffrey Pairin Kitingan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung PBS Jahid Noordin Jahim.

“Walaupun PBS bukan sebahagian daripada Perikatan, kami harap mereka akan sertai kita satu hari nanti,” kata Hamzah pada majlis diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah itu.

Buat masa sekarang, PN terdiri daripada Bersatu, PAS, SAPP dan Star selepas parti komponen Barisan Nasional, MIC menarik diri minggu lepas.

Umno memutuskan untuk tidak menyertai PN dan wakilnya serta wakil parti BN lain- MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga tidak kelihatan malam ini.

Logo Perikatan Nasional dilancar di Sabah, malam ini. – Gambar Facebook, 9 September, 2020.

Siaran langsung pelancaran itu disiarkan di Facebook Bersatu Sabah juga tidak menunjukkan kehadiran Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin tidak melancarkan PN pada lawatannya ke Sabah pada 29 Ogos lepas kerana perbincangan masih berjalan dan tiada majlis pelancaran diatur ketika lawatan itu.

Parti komponen PN- Bersatu, PAS, SAPP dan Star- dijangka menggunakan logo baharu itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah, BN pula dijangka menggunakan logo dacingnya.

PRN Sabah bermula Sabtu ini dengan penamaan calon untuk 73 kerusi DUN.

Tidak seperti parti lain yang menggunakan simbol, logo PN hanyalah perkataan “Perikatan Nasional” berwarna putih dengan latar belakang biru. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen