Pungutan suara Umno akan selesai isu dengan Bersatu, kata akar umbi


Zaim Ibrahim Sheridan Mahavera

Ketidakpuasan hati akar umbi Umno terhadap kerjasama dengan Bersatu boleh memberi kesan kepada banyak perkara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

PUNGUTAN suara akan menyelesaikan untuk sekian kalinya perasaan berbelah bahagi dalam kalangan ahli Umno terhadap kerjasama parti itu dengan Bersatu, kata ahli akar umbinya.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, referendum itu mampu membantu pucuk pimpinan Umno menyatukan parti serta mendapatkan pendirian yang jelas terhadap kerjasama dengan Bersatu, parti serpihan yang menyingkirkannya dari puncak kuasa dalam pilihan raya umum yang lalu.

Umno pada masa ini seolah-olah terbelah dua apabila ada ahli dan pimpinan yang menyokong kerjasama dengan Bersatu tetapi ada juga yang beranggapan kerjasama itu tidak perlu.

Idea pungutan suara itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil kerana menyifatkan kerjasama dua parti Melayu dari teras yang sama itu mempunyai kesan besar kepada Umno sebagai parti pembela orang Melayu.

“Pungutan suara akan membolehkan kita mendapatkan pandangan ahli dan mencapai satu keputusan bersama sebagai sebuah parti,” kata Ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Langat Mohd Razali Nasir.

“Pemimpin boleh ambil kira pandangan kami sebagai ahli apabila membuat keputusan kerana ada baik dan buruknya bersama dengan Bersatu,” tambah Mohd Razali.

Jelas beliau, kerjasama dengan Bersatu akan mengukuhkan penyatuan Melayu dan memastikan kelompok itu kekal dominan dalam politik Malaysia.

Namun dalam kalangan ahli Umno ada yang curiga kerana kehadiran Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) seolah-olah mengeruhkan kerjasama Umno dengan PAS.

Bersatu yang selepas PRU14 gemilang masa depan tetapi sekarang jadi persoalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

Kerjasama atas nama MN dimeterai hampir genap setahun lalu ketika Umno dan PAS masih dalam blok pembangkang. Bersatu menyertai kerjasama itu selepas ketiga-tiga parti bersama membentuk gabungan baharu Perikatan Nasional yang mengambil alih Putrajaya pada hujung Februari lalu.

Tidak seperti PAS yang menjadi penaja pendaftaran PN, Umno sebaliknya tidak menyertai gabungan itu dengan alasan mahu mengukuhkan kerjasama dalam MN.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Bandar Baru, Pokok Sena, Muhammad Farhan Ahmad berkata pungutan suara Umno akan menjadi bukti parti itu demokratik dan telus.

“Umno sepatutnya serahkan juga kepada ahli akar umbi untuk bersama-sama membuat keputusan.

“Umno kena tunjuk bahawa kita parti yang demokratik berbanding parti-parti lain iaitu dalam apa-apa keputusan besar, hala tuju parti, ahli pun terlibat,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Farid Mohd Nor turut mengakui pungutan suara menentukan kerjasama dengan Bersatu boleh menjadi ruang untuk mengumpulkan pandangan ahli akar umbi parti.

“Kalau kita buat referendum kita tahu jawapan sama ada ahli akar umbi akan sokong atau tidak. Mesyuarat cawangan kita dah selesai dan kita boleh lakukannya untuk mesyuarat bahagian.

“Ahli boleh terima (Bersatu) jika pemimpin boleh beri alasan yang munasabah.

“Suara akar umbi kuat yang anti Bersatu tetapi kebanyakan mereka kebanyakan bersikap rasional,” katanya.

Hubungan dengan Bersatu juga memberi kesan kepada hubungan Umno dengan PAS, kerjasama yang dianggap sangat kuat dalam landskap politik Malaysia sekarang. Bersatu yang selepas PRU14 gemilang masa depan tetapi sekarang jadi persoalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

Isham, yang juga bekas pegawai khas Najib Razak, melontarkan cadangannya mengenai pungutan suara ketika semua bahagian Umno di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing antara 15 September hingga 31 Oktober.

“Dalam MN, kita ada dua parti. Kini, PAS telah terima Bersatu. Jika kita tolak Bersatu, bagaimana hubungan dengan PAS?” tanya Mohd Farid.

Jelas Mohd Farid, pungutan suara itu juga akan memastikan ahli Umno akan menerima ahli Bersatu dengan baik.

Beliau mengakui masih banyak ahli Umno yang marahkan Bersatu, susulan kekalahan parti itu dalam PRU14, namun katanya mereka perlu berpandangan jauh melihat pilihan raya umum akan datang.

“Di banyak kawasan, sokongan Bersatu tidak besar tetapi kita perlu semua undi terutamanya di tempat yang Umno kalah dengan selisih yang kecil,” kata ketua Pemuda Umno Lipis itu.

“Kita mesti rasional. Kalau kita tentang Bersatu, kenapa kita duduk dalam kerajaan Perikatan? Kenapa kita terima presiden Bersatu sebagai perdana menteri?” tanyanya.

Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional sebelum kekalutan landskap politik Malaysia dan sekarang mereka perlu memilih Muafakat atau Perikatan atau kedua-duanya. Hubungan dengan Bersatu juga memberi kesan kepada hubungan Umno dengan PAS, kerjasama yang dianggap sangat kuat dalam landskap politik Malaysia sekarang. Bersatu yang selepas PRU14 gemilang masa depan tetapi sekarang jadi persoalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu Aminuddin Omar berkata referendum itu bukanlah satu keperluan tetapi pada masa sama, pucuk pimpinan Umno tidak boleh meminggirkan suara akar umbi.

“Saya faham ahli-ahli akar umbi tolak atau tidak berpuas hati dengan Bersatu, tapi untuk kebaikan parti, parti kena ada pendekatan tertentu. Pimpinan perlu cari jalan supaya satu impak yang berkesan akan diperoleh Umno untuk PRU15,” katanya.

Beliau juga berharap ahli Umno di akar umbi yang kini memberikan pandangan tidak sampai dilihat begitu mendesak pucuk pimpinan.

“Jangan sampai timbul masalah lain antara ahli dengan pimpinan yang boleh sebabkan parti kita tak harmoni dan rosak.

“Antara ahli parti dan pimpinan kena saling memahami dan berjiwa besar dalam menerima Bersatu,” tambah Aminuddin.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis Azizan Sulaiman pula menegaskan pungutan suara bukanlah satu keperluan kerana Bersatu telah pun menyertai MN.

“Kita tidak perlu referundum kerana bagi saya, serahkan saja kepada kebijaksanaan tiga parti dalam MN-Umno, PAS dan Bersatu untuk tentukan pengagihan kerusi.

“Setakat ini belum jumpa lagi formula (untuk bahagi kerusi) tetapi dasarnya kita percaya kepada sekretariat MN. Akar umbi pun lebih baik kita serahkan kepada pimpinan,” jelasnya. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen