Buat referendum isu agih kerusi dengan Bersatu, kata pemimpin BN Selangor


Rata-rata akar umbi Umno tidak bersetuju dengan cadangan atau keputusan penerimaan Bersatu ke dalam MN serta pembahagian kerusi dengan mereka

SEORANG pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor menggesa Umno membuat pungutan suara untuk menentukan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) dan seterusnya pengagihan kerusi dengan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata pungutan suara itu penting kerana dua perkara itu mempunyai kesan besar kepada Umno sebagai parti pembela orang Melayu.

“Besar kemungkinan, apabila kerusi-kerusi ini diserahkan, kerusi-kerusi ini tidak akan kembali ke tangan Umno lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Bekas pegawai khas Najib Razak itu juga membayangkan risiko Bersatu kalah di kerusi yang asalnya dimenangi Umno kerana mendakwa pengundi menolak wakil rakyat yang lompat parti.

“Sebab itu rata-rata akar umbi Umno tidak bersetuju dengan cadangan atau keputusan penerimaan Bersatu ke dalam MN serta pembahagian kerusi dengan mereka,” katanya.

Isham berharap pucuk pimpinan Umno mendengar pandangan akar umbi kerana merekalah yang akan berpenat lelah di lapangan untuk memenangkan calon parti.

Diminta untuk menjelaskan cadangannya, Isham berkata pungutan suara tersebut boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Bila-bila pun boleh (buat pungutan suara). Lebih cepat lebih bagus. Kalau boleh buat pungutan suara semasa perhimpunan agung Umno lagi bagus,” katanya kepada The Malaysian Insight

Jelas beliau, pandangan tidak setuju Bersatu menyertai MN juga sebelum ini sudah disuarakan oleh beberapa pemimpin utama Umno, antaranya pengerusi jemaah penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah dan naib presiden Khaled Nordin.

Majlis Tertinggi Umno menetapkan perhimpunan agung tahunan parti berlangsung pada 27 dan 28 November ini.

Isham melontarkan cadangan ini ketika bahagian-bahagian Umno di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing antara 15 September hingga 31 Oktober.

Mesyuarat peringkat bahagian itu akan disusuli konvensyen negeri yang ditetapkan antara 1 hingga 23 November.

Pada 26 Ogos, Setiausaha Agung bersama MN Annuar Musa berkata Umno telah bersetuju menerima Bersatu menyertai muafakat dengan PAS itu demi perpaduan Melayu dan mengukuhkan kekuatan teras Melayu Islam.

Penyertaan Bersatu ke dalam MN juga katanya dibincangkan oleh biro politik Umno pada 23 Ogos,  melibatkan semua pengerusi badan perhubungan Umno dan pengerusi BN negeri.

MN adalah kerjasama rasmi politik Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 September 2019, kemuncak daripada siri kerjasama tidak rasmi mereka termasuk dalam beberapa pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum pada Mei 2018.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini berkata Umno dan BN sudah setuju tidak akan menyerahkan mana-mana kerusinya untuk ditandingi oleh Bersatu dalam PRU15.

Umno dan BN juga akan bertanding di kerusi yang  ia kalah dalam pilihan raya umum yang lalu tetapi mempunyai jumlah undian kedua tertinggi, ketika pertandingan pada masa itu melibatkan tiga penjuru.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan meminta isu pengagihan kerusi untuk PRU15 diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa antara Umno, PAS, dan Bersatu. – 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen