Umno setuju Bersatu masuk Muafakat Nasional, kata Annuar Musa


Annuar Musa penyertaan Bersatu dalam gabungan yang dibentuk oleh Umno dan PAS adalah selari dengan asas perjuangan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Ogos, 2020.

UMNO setuju menerima Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) demi perpaduan Melayu dan mengukuhkan kekuatan teras Melayu Islam, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung bersama MN berkata penyertaan Bersatu dalam gabungan yang dibentuk oleh Umno dan PAS adalah selari dengan asas perjuangan Umno.

“Atas dasar itu, Umno telah bersetuju supaya MN menerima penyertaan Bersatu dan ingin melihat dengan penyertaan tersebut penyatuan dan perpaduan orang Melayu bertambah mantap lagi selaras dengan piagam MN yang termaktub sebelum ini,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

MN adalah kerjasama rasmi politik Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 September 2019, kemuncak daripada siri kerjasama tidak rasmi mereka termasuk dalam beberapa pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum pada Mei 2018.

Jelas Annuar, kemasukan Bersatu ke dalam MN dibincangkan oleh biro politik Umno pada Ahad lalu (23 Ogos).

Mesyuarat itu melibatkan semua pengerusi badan perhubungan Umno negeri dan pengerusi Barisan Nasional negeri.

Beberapa hari sebelum mesyuarat itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu untuk menyertai MN.

Beliau membuat pengesahan itu selepas tular sepucuk surat mengenainya di media sosial. Surat bertarikh 13 Ogos itu ditandatangani oleh Zahid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ditujukan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Jawatan rasmi kesediaan Bersatu menyertai MN telah diterima pada 18 Ogos 2020 ditandatangani oleh Muhyiddin Yassin sendiri,” kata Annuar.

Bersatu disahkan menyertai MN dibuat ketika PAS mengesahkan ia bersama Bersatu menjadi penaja untuk mendaftar secara rasmi gabungan Perikatan Nasional. 

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan Umno tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan di beberapa negeri.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata gabungan Umno, PAS, dan Bersatu akan memperkukuhkan Melayu dan Islam, dalam gagasan “Melayu Raya”. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen