Tiada satu kerusi pun untuk Bersatu, kata MT Umno


Keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno melibatkan kerusi Parlimen dan negeri yang sekarang disandang oleh wakil rakyat yang keluar Umno untuk menyertai Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan mana-mana kerusinya untuk ditandingi oleh Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin.

Keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno, katanya, melibatkan kerusi Parlimen dan negeri yang sekarang disandang oleh wakil rakyat yang keluar Umno untuk menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum lalu.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi BN, mereka lompat ke Bersatu, itu MT buat keputusan kita ambil balik.

“Maka kita tidak akan bagi satu kerusi pun kepada Bersatu, itu sudah pasti,” katanya dalam satu rakaman video disiarkan di Facebook Suara TV.

Jelas Zahidi, keputusan tersebut adalah keputusan Majlis Tertinggi Umno dan bukannya Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Bersatu sebaliknya boleh bertanding di kerusi yang sekarang disandang oleh wakil rakyat bekas pimpinan mereka yang kini bersama Dr Mahathir Mohamad, katanya.

“Maka kalau Bersatu nak dia bertandinglah kerusi di tempat lain. Kerusi Bersatu ‘blackout’ ke, terpulang, tapi mereka bertanding di tempat itu,” katanya.

Umno juga membuat keputusan akan bertanding di kerusi yang ia kalah dalam pilihan raya umum yang lalu tetapi mempunyai jumlah undian kedua tertinggi, ketika pertandingan pada masa itu melibatkan tiga penjuru.

Namun katanya Umno sedia memberi laluan kepada PAS sekiranya ada permintaan daripada pimpinan parti Islam itu melibatkan kerusi yang dirasakan mereka mampu menang.

“Kalau dia minta kawasan yang menang presiden PAS, naib presiden PAS dan sebagainya (yang) minta, maka kita akan bincang… itu lain,” katanya.

Umno dan PAS kini bekerjasama dalam Muafakat Nasional yang dibentuk pada September 2019. Dua parti itu menjemput Bersatu menyertai gabungan tersebut baru-baru ini.

Semasa PRU14 Umno menang 54 daripada 120 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Bagaimanapun Umno kini mempunyai 39 anggota di Dewan Rakyat selepas 15 yang lain keluar parti untuk menyertai Bersatu, yang ketika itu bersama Pakatan Harapan.

Beberapa wakil rakyat negeri di Perak, Sabah, Johor, dan Kedah juga keluar parti.

Pada hujung Februari lalu, Bersatu menarik diri keluar daripada PH untuk membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan PAS, yang mendapat sokongan komponen BN serta parti-parti dari Sarawak.

Tiga parti besar Melayu dalam satu kerjasama itu kini sedang berunding menentukan pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang, yang sebelum ini dibayangkan akan berlangsung sebelum hujung tahun ini. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen