Osman belum dipecat, kata Lembaga Disiplin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Osman Sapian akan dipanggil ke Lembaga Disiplin Bersatu susulan dakwaan membantu kempen parti lawan, Pejuang dalam PRK Slim baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

OSMAN Sapian akan dipanggil ke Lembaga Disiplin Bersatu terlebih dahulu untuk menjelaskan tindakan menyertai kempen pembangkang, kata pengerusi lembaga itu Megt Najmuddin Megat Khas.

Megat Najmuddin menjelaskan laporan media lebih awal yang menyebut keanggotaan bekas menteri besar Johor itu lucut serta-merta dan tidak akan dipanggil memberi penjelasan.

“Laporan asal tak betul, apa saya kata kalau betul dia buat memang kita ambil tindakan, tapi sekarang dia dah nafikan jadi kita kena panggil dia.

“Osman belum dipecat,” kata Megat Najmuddin kepada The Malaysian Insight.

Megat Najmuddin berkata, lembaga disiplin juga belum menerima laporan dan bukti salah laku Adun Kempas itu secara rasmi dan aduan yang dibuat setakat ini hanyalah di laman media sosial.

“Bukti pun tidak ada, orang yang buat laporan bukan secara langsung kepada lembaga disiplin, dia buat di sosial media dan tidak dibuat secara rasmi kepada lembaga disiplin. Kita tidak ada terima laporan lagi.

“Laporan mesti ada bukti sahih, takkan nak serkap jarang. Kalau betul benda ini berlaku, betul dia buat macam itu memang jawabnya kita kena ambil tindakan,” katanya lagi.

Dengan itu, Bersatu tidak boleh mengenakan apa-apa tindakan ke atas Osman, katanya.

“Oleh kerana tidak ada laporan yang dapat pada kita dengan bukti sahih kita tak boleh buat apa-apa.

“Dari segi teorinya kalau dia tak mengaku seperti dituduh, jadi tidak ada tindakan kita boleh ambil tapi kita kena panggil dia dalam masa terdekat.

“Dia telah menafikan berita-berita tersebut, kita mesti beri dia peluang memberi keterangan kepada kita,” kata Megat Najmuddin.

Terdahulu, Megat Najumddin dilaporkan berkata keanggotaaan Osman terlucut secara automatik mengikut Fasa 10.2.3 dalam perlembagaan Bersatu.

“Tak perlu didakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya seperti dipetik.

Osman didakwa membantu kempen parti lawan, Pejuang dalam pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, yang juga ketua bahagian Bersatu Pulai Yaacob Atan dilaporkan antara yang menggesa agar Osman dirujuk ke lembaga disiplin Bersatu atas tindakannya itu.

Osman ketika menjelaskan tindakannya itu minggu lalu berkata beliau mempertimbangkan untuk menyertai parti lain sekiranya dipecat.

“Tetapi kalau saya dipecat sebelum 10 September ini, maka saya kena duduk di kerusi Bebas, atau saya nak isytihar masuk parti baharu, wallahuaklam,” kata Osman seperti dipetik Sinar Harian.

Sekiranya Osman dipecat, ia memberi tamparan buat kerajaan Pakatan Nasional yang menguasai DUN Johor dengan 29 kerusi, termasuk kerusi Osman, berbanding 27 kerusi Pakatan Harapan. – 4 September, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen