Megat Najmuddin dilantik pengerusi baharu Sime Darby Plantation 


Megat Najmuddin Megat Khas dilantik sebagai pengerusi baharu Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation berkuat kuasa 1 Julai 2020.– Gambar SEGi, 30 Jun, 2020.

SIME Darby Plantation Bhd  (SDP) telah melantik Megat Najmuddin Megat Khas sebagai pengerusi baharu Lembaga Pengarah syarikat itu, berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini turut mengumumkan bahawa Abdul Ghani Othman telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa hari ini.

Megat Najmuddin, 75 yang memegang kepentingan langsung sebanyak 5,000 saham dalam SDP, sekarang ini menjadi pengerusi dalam beberapa syarikat tersenarai awam dan swasta serta organisasi bukan kerajaan seperti Asian PAC Holdings Bhd, SEG International Bhd, Green Venture Capital Sdn Bhd, Ulink Ascot Sdn Bhd dan Institut Pengurusan Malaysia.

Megat Najmuddin juga merupakan Presiden Persekutuan Syarikat-syarikat Tersenarai Bhd.

“Bagi pihak SDP, saya mengalu-alukan Megat Najmuddin yang hadir semasa syarikat sedang melalui satu fasa yang penting dalam lebih daripada 100 tahun sejarah penubuhannya, khususnya apabila kami sedang membina asas untuk pertumbuhan masa hadapan dalam matlamat kami untuk menjadi peneraju minyak sawit bersepadu yang terkemuka,” kata Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha.

Mohamad Helmy juga melahirkan penghargaan beliau kepada Abdul Ghani di atas perkhidmatan dan sumbangannya sejak dilantik pada 2013.

“Melalui Abdul Ghani, syarikat telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan terus mengorak langkah menerusi saat-saat kritikal seperti langkah pemecahan Sime Darby Group pada 2017 dan krisis Covid-19,” katanya. – Bernama, 30 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen