IOI, Sime Darby nafi ladang mereka disita kerajaan Indonesia 


Pemandangan udara kebakaran tanah gambut di Kubu Raya, di Barat Kalimantan Indonesia. Sime Darby dan IOI berkata kebakaran berlaku di tanah milik penduduk tempatan dan bukan ladang mereka.– Gambar EPA, 13 September Ogos, 2019.

IOI Corporation Berhad (IOI) dan Sime Darby Plantation Berhad menafikan ladang mereka di Indonesia disita dan ditutup selepas dinamakan oleh pihak berkuasa negara itu kerana didakwa melakukan pembakaran terbuka yang menyebabkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan Malaysia.

Anak syarikat IOI Corp dan Sime Darby dinamakan bersama TDM Bhd dan Kuala Lumpur Keong Group dalam laporan Reuters yang memetik Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar sebagai berkata, ladang di bawah empat syarikat milik Malaysia itu dikenal pasti membakar tanah mereka dan telah disita.

IOI Corp dalam satu kenyataan malam ini berkata, anak syarikatnya PT Sukses Karya Sawit (PT SKS), tidak menerima sebarang notis rasmi, dan bekerjasama memadamkan kebakaran sejak beberapa bulan lalu. 

“PT SKS sentiasa berwaspada dan mengambil langkah untuk berdepan cuaca kering dan risiko kebakaran. 

“Kami berjaya memadamkan beberapa kebakaran kecil yang berlaku sejak beberapa bulan lalu dan turut membantu syarikat lain serta penduduk kampung memadamkan kebakaran di tanah berhampiran kami,” kata IOI Corp dalam satu kenyataan. 

Sime Darby dalam satu kenyataan berasingan berkata, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menyita anak syarikatnya PT Sime Indo Agro (PT SIA) sehingga petang ini. 

PTSIA merupakan sebahagian daripada Minamas Group, yang merupakan anak syarikat milik penuh Sime Darby di Indonesia. 

Sime Darby pihaknya menjalankan pemantauan terhadap semua tapak operasinya sepanjang tahun ini. 

Kedua-dua syarikat berkenaan berkata, mereka sentiasa menyediakan sumber untuk memadam kebakaran di ladang mereka dan menjalankan pencegahan serta pemantauan. 

Tambah Sime Darby, kebakaran pada 3 September lalu berlaku di luar kawasan operasi PT SIA dan berlaku pada tanah milik penduduk tempatan. Syarikat itu berkata ia telah mengesahkan perkara itu kepada pihak berkuasa alam sekitar dan perhutanan Indonesia. 

Katanya, pihaknya mengamalkan Teknik Tanam Semula Sifar Pembakaran pada semua operasi globalnya, dan ia turut memanjangkan dasar itu kepada ladang milik jirannya di kawasan 5 kilometer persegi dari sempadan ladang miliknya dengan memantau dan memadamkan kebakaran. 

Tambahnya, Sime Darby turut mendekati masyarakat tempatan di Indonesia dan mendidik mereka mengenai pencegahan kebakaran dan amalan pertanian lestari. 

Terdahulu, Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim menyatakan kebimbangan mengenai tuduhan pihak berkuasa Indonesia yang mendakwa empat syarikat Malaysia didakwa memulakan kebakaran di tanah ladang mereka. 

Katanya syarikat-syarikat ini menetapkan dan mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan sama ada melalui Minyak Sawit Mampan Malaysia, Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan, Kelestarian Antarabangsa dan Persijilan Karbon atau gabungan sistem pensijilan itu. – 13 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen