Bersatu pecat Osman Sapian


Osman Sapian dipecat daripada Bersatu kerana didakwa membantu kempen parti lawan, Pejuang dalam pilihan raya kecil DUN Slim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

BEKAS menteri besar Johor Osman Sapian dipecat daripada parti berkuatkuasa serta-merta, kata pengerusi lembaga disiplin parti itu Megat Najmuddin Megat Khas.

Laporan Malaysiakini menyebut, keputusan itu dibuat atas tindakannya yang didakwa membantu kempen parti lawan, Pejuang dalam pilihan raya kecil DUN Slim.

Keputusan itu memberi tamparan buat kerajaan Pakatan Nasional (PN) yang menguasai DUN Johor dengan 29 kerusi, termasuk kerusi Osman, berbanding 27 kerusi Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu dibuat mengikut Fasa 10.2.3 dalam perlembagaan Bersatu yang menggariskan keahlian Osman terlucut secara automatik daripada parti, menurut Megat Najmuddin.

“Tak perlu didakwa depan Lembaga Disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkahlaku beliau sendiri,” katanya seperti dipetik.

Osman ketika menjelaskan tindakannya itu minggu lalu berkata beliau mempertimbangkan untuk menyertai parti lain sekiranya dipecat.

“Tetapi kalau saya dipecat sebelum 10 September ini, maka saya kena duduk di kerusi Bebas, atau saya nak isytihar masuk parti baharu, wallahuaklam,” kata seperti dipetik Sinar Harian.

Osman juga memberitahu Sinar Harian tindak tanduknya menyertai kempen Pejuang hanyalah untuk memberi kesedaran dan demi maruah Bersatu yang seolah-olah diperkecilkan Umno.

“Bersatu kini dibuli Umno, termasuk tidak diberi ruang dalam kedudukan jawatan dan digasak dengan pelbagai tohmahan.

“Daripada pemimpin pusat sehingga negeri, Umno tuduh parti Bersatu tidak wajar diberikan sebarang kerusi dan hanya tumpang pengaruh orang.

“Mengapakah kita diam? Tiada orang kita pertahankan parti, mengapa tiada pula tindakan diambil kepada Umno?

“Oleh sebab itu, saya buat macam ini supaya ada kesedaran di peringkat kepimpinan dan ahli parti,” kata Osman, dalam wawancara tersebut.

Parti Pejuang diasaskan bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berserta beberapa ahli Parlimen parti itu selepas dipecat daripada Bersatu. – 4 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen