Angin perubahan terus landa Johor, 6 bulan selepas tukar kerajaan


Mohd Farhan Darwis

Sultan Johor pada 3 Jun lalu mengarahkan parti politik berhenti berebut kuasa atau baginda akan membubarkan DUN Johor bagi pilihan raya negeri diadakan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

POLITIK Johor terus bergolak dengan angin perubahan kerajaan walaupun hampir enam bulan selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat ditukar melalui percaturan politik gabungan baharu Perikatan Nasional (PN).

Angin perubahan itu kencang selepas muncul sekali lagi desas-desus sejak hampir dua minggu lalu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN sedia jadi wakil rakyat bebas, sekaligus menggoncang kedudukan kerajaan yang hanya mempunyai majoriti dua kerusi.

Tindakan lompat parti sekali lagi itu, sekiranya berlaku, bagaimanapun akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

“Di Johor, kalau seorang Adun lompat dah jadi masalah, tetapi kali ini kalau lompat pun tak tukar kerajaan dah… terus pilihan raya negeri.

“Takkan Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar) nak tukar menteri besar buat kali keempat dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak Barisan Nasional (BN) tewas di kubu kuatnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Johor sudah tiga kali bertukar menteri besar. 

Dua kali ketika tempoh 22 bulan PH mentadbir dan terakhir adalah pelantikan Adun Benut Hasni Mohamad, yang juga pengerusi Umno Johor, selepas PN membentuk pada hujung Februari lalu.

Kenyataan Nur Jazlan itu adalah berlandaskan titah Sultan Johor pada 3 Jun lalu, yang mengarahkan parti politik berhenti berebut kuasa atau baginda akan membubarkan DUN Johor bagi pilihan raya negeri diadakan semula.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN. PN menguasai 29 manakala baki 27 kerusi lagi milik PH.

DUN Johor akan bubar jika ada lagi Adun melompat parti, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

Osman Sapian ‘acah-acah’, tak berani lompat

Seorang pemimpin PH Johor bagaimanapun melihat kerajaan negeri tidak akan bertukar kerana Adun PN yang dikatakan akan melompat tidak berani berbuat demikian.

Spekulasi ada Adun PH akan beralih sokongan semakin hangat apabila bekas menteri besar Osman Sapian muncul dalam kempen parti serpihan yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mahathir di Tanjung Malim, Perak.

Osman sehingga ini masih bersama Bersatu ketika bekas pengerusi parti itu sudah menubuhkan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk melawan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut pemimpin PH Johor yang enggan dinamakan khabar angin seperti itu tidak memberikan harapan kepada mereka.

“Situasi politik di Johor tertakluk kepada Istana, Sultan Johor dah bertitah, kalau kecoh-kecoh DUN bubar.

“Jadi, secara peribadi saya rasa tidak akan ada apa-apa perubahan di Johor. 

“Akhirnya, berita macam ini tidak beri harapan kepada PH, sebaliknya ahli kita akan rasa kecewa dan tertipu. Cukuplah,” katanya.

Beliau juga berkata perubahan tidak akan berlaku kerana Osman tidak berani untuk mengalihkan sokongannya.

“Dari Februari sampai sekarang sudah lima bulan PN perintah, kalau betul dia nak lompat, dia lompat lama dah.

“Kalau Osman nak lompat dia boleh lompat, tapi dia tidak ada keberanian. Jiwa dia bersama dengan PH, kerana Umno Johor pun tak layan dia,” katanya.

Osman yang dihubungi The Malaysian Insight juga menafikan beliau akan melompat menyertai Pejuang.

“Tidak,” katanya ringkas.

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian menafikan beliau akan menyertai Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

Cari perhatian

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi juga berpendapat tiada perubahan akan berlaku. Beliau yakin Osman sedang mencari perhatian politik.

“Osman lebih selesa dengan kumpulan Pejuang kerana beliau merupakan menteri besar pertama yang PH lantik ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

“Bila beliau terkeluar (tidak lagi menteri besar) beliau rasa tersisih daripada Bersatu. Mungkin beliau belum buat keputusan muktamad, tapi itu mesej Osman nak tunjuk yang dirinya ada pengaruh dan jika dia buat tindakan politik PN Johor tumbang.

“Namun tekad politik belum ditunjukkan kerana beliau nak lihat apa reaksi daripada pimpinan Bersatu. Apa mereka boleh tawarkan kepadanya,” kata Awang Azman.

BN bersedia untuk PRN Johor

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata BN Johor bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kerana itu jalan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat.

“Kalau nak buat PRN kami dah bersedia. Kecik punya hal. Ada PRN lagi bagus,” katanya.

Awang Azman bagaimanapun berpendapat PRN Johor tidak akan berlaku dalam masa terdekat, sebaliknya Pilihan Raya Umum Ke-15 akan dilaksanakan hujung tahun ini.

“Berdasarkan suasana politik di Johor, Sabah, dan PRN Sarawak yang semakin dekat, mungkin PRU hujung tahun ini diadakan serentak…kerana itu memang tak dapat dielakkan.

“Lebih-lebih lagi Bersatu pula sekarang seolah diperkuatkan dengan kem Azmin,” katanya, merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang menyertai Bersatu hujung minggu lalu. – 27 Ogos, 2020.


.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen