Rakyat mahu bantuan lain selain tunai, kata aktivis masyarakat


Zaim Ibrahim

Bantuan tunai tidak akan membantu rakyat keluar dari kemiskinan sebaliknya Malaysi perlu jadi negara yang membimbing rakyatnya untuk keluar dari kepompong kemiskinan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

PUTRAJAYA perlu mencari kaedah jangka masa panjang untuk mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan tidak hanya menawarkan bantuan tunai, kata aktivis masyarakat.

Mereka melihat bantuan tunai yang sekarang hendak ditambah oleh kerajaan, untuk meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19, tidak menyelesaikan masalah rakyat dalam kelompok miskin.

Aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi berkata bantuan tunai hanya menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi secara tidak langsung menyebabkan keluarga penerima bantuan bertukar menjadi mereka yang menagih bantuan.

Katanya, jumlah bantuan dan sama cukup atau tidak adalah subjektif – bergantung kepada keadaan keluarga berkenaan dan keperluan mereka.

“Isunya ialah macam mana golongan penerima bantuan ini boleh keluar daripada kepompong kemiskinan?” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Syed Azmi menjelaskan setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza.

“Sebenarnya lain keluarga, lain keperluan mereka. Bantuan yang dinaikkan baik untuk keluarga yang memerlukan, misalnya yang ada ahli keluarga menghidap penyakit krinik atau keluarga itu besar.

“Bantuan itu mungkin pula tidak membantu membina keluarga yang lebih maju, dan kita tidak mahu mereka yang menerima bantuan ini bertukar menjadi penagih bantuan,” tambahnya.

Syed Azmi berkata, apabila kerajaan bercadang menaikkan elaun bantuan itu, orang ramai lebih-lebih lagi penerima bantuan, akan terus meminta-minta.

“Kita sepatutnya membimbing mereka supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau memberikan contoh bagaimana pembangunan infrastruktur dapat membantu keluarga miskin yang memerlukan, misalnya kemudahan jalan raya yang baik atau pengangkutan awam untuk membolehkan mereka lebih mudah bekerja.

“Pemberian wang tunai kurang efisien untuk membasmi kemiskinan. Kita patutnya menjadi sebuah negara yang boleh pimpin dan bimbing mereka keluar daripada kemiskinan,” jelas beliau.

Syed Azmi turut mencadangkan syarat untuk wang tunai bantuan kerajaan digunakan hanya bagi tujuan persekolahan atau sebagai bantuan pendidikan di kolej kemahiran kepada anak-anak.

Beliau juga berharap kerajaan mempunyai program untuk melihat keberkesanan bantuan ini dari segi jangka masa panjang.

“Kita perlu lihat apa kesan bantuan itu selepas 10 tahun. Jika tiada perubahan, kita boleh lihat bantuan apa lagi yang perlu… supaya kita bukan sekadar bantu mereka untuk hidup tetapi ada asas untuk lebih maju,” katanya.

Ahad lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bercadang menaikkan bantuan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada kadar RM200 hingga RM400 sekarang kepada RM1,000 sebulan.

Katanya, perkara itu akan diusulkan kepada mesyuarat kabinet minggu ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bercadang untuk menaikkan bantuan elaun bulanan JKM kepada RM1,000 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap, cadangan itu akan dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan disegerakan.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata cadangan itu tidak sewajarnya terhalang oleh satu lagi kajian yang mengambil masa lama sebelum pelaksanaannya kerana rakyat sedang menderita susulan kos sara hidup meningkat sejak pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula berkata, cadangan supaya peruntukan pakej rangsangan ekonomi negara bernilai RM45 bilion digandakan perlu dipertimbangkan dengan sangat rapi.

Sementara itu, bekas penerima bantuan untuk orang kelainan upaya (OKU) Lily Looi berharap kerajaan akan menyelesaikan isu birokrasi sebelum memikirkan untuk menambah jumlah bantuan.

Lily yang hanya mampu bergerak melalui kerusi roda adalah penerima bantuan JKM selama bertahun-tahun tetapi dibatalkan pada 2019, dan sehingga sekarang tidak lagi menerima apa-apa bantuan.

Menurut Lily, bantuan kepadanya dibatalkan kerana salah faham pegawai JKM mengenai status dirinya, yang kemudian tidak dapat dijelaskan sehingga sekarang.

“Apabila saya mohon semula, pegawai bertugas sering tiada di pejabat. Ketika musim perintah kawalan pergerakan pula, saya hubungi pejabat melalui telefon, pegawai itu tetap tidak ada.

“Memang cadangan (menambahkan bantuan) itu baik tapi, lebih baik selesaikan isu-isu birokrasi dulu seperti yang saya hadapi,” katanya, yang mengendalikan perkhidmatan van untuk OKU.

Jelas beliau, JKM memberi bantuan RM200 kepada OKU yang tidak bekerja dan RM400 kepada yang bekerja, bertujuan menggalakkan golongan itu bekerja.

“Jika kerajaan laksanakan pemberian bulanan RM1,000, mungkin syarat-syarat menerima akan diperketat. 

“Nanti lebih ramai pula yang sukar dapat bantuan,” katanya.

Berita baik

Penyelidik bebas tentang isu pendidikan dan OKU, Muhamad Nadhir Abdul Nasir dalam pada itu gembira mendengar cadangan kerajaan.

Katanya, apa saja bantuan kerajaan akan menambah kualiti hidup mereka yang memerlukan.

Beliau juga berharap kerajaan menyemak semula dan meminda syarat skim bantuan JKM, misalnya syarat pendapatan di bawah RM1,200.

“Mereka yang berpendapatan di atas had tersebut tidak layak memohon biarpun pendapatannya tak cukup menampung kehidupannya dan keluarga,” katanya.

Nadhir juga berharap JKM akan lebih memudahkan urusan permohonan termasuk memanfaat sepenuhnya urusan dalam talian, mengambil kira kekangan golongan OKU untuk naik turun ke pejabat mereka.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME), Prof. Madya Dr Haslinda Abdullah pula keluarga penerima bantuan akan sangat berpuas hati jika elaun dinaikkan kepada RM1000.

Namun beliau berharap kerajaan tidak memandang ringan aspek pembangunan keluarga.

“Dari segi pembangunan sosio-ekonomi keluarga, akses dan platform kepada kemahiran dan teknologi sangat penting bagi memerdekakan diri dan keluarga dari belenggu kemiskinan.

“Selain itu, elemen pendidikan sangat perlu dititikberatkan seperti pendidikan percuma, makanan berkhasiat untuk nutrisi anak-anak juga boleh diberi perhatian,” tambahnya. – 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen