KEMAMPUAN parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Pejuang akan teruji dalam berdepan dengan Umno menerusi pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, yang bermula hari ini.
Selepas proses penamaan calon selesai 10.30 pagi tadi, pegawai pengurus Shamsul Redzuan Idris mengumumkan pertandingan PRK Slim adalah antara calon Barisan Nasional (Umno) Mohd Zaidi Aziz dan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Segaran Subramaniam.
Zaidi, 43, ialah pemangku ketua Umno Bahagian Tanjung Malim sementara Amir, 38, seorang peguam.
Amir, yang sebelum ini diumumkan sebagai calon Pejuang, bertanding antas tiket bebas kerana pendaftaran Pejuang belum diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.
PRK Slim akan menjadi medan ujian pertama bagi Pejuang, apatah lagi semua calon perlu memikat sokongan Melayu yang membentuk 77% daripada daftar pengundi. Ini PRK kedua bagi Perikatan Nasional selepas menang di Chini pada 4 Julai.
DUN Slim yang mempunyai 23,094 pengundi berdaftar didominasi oleh tujuh penempatan Felda yang membentuk lebih separuh daripada jumlah itu.
Kerusi itu kosong pada 15 Julai susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, di Hospital Bentong.
Khusairi, yang juga ketua Umno Bahagian Tanjong Malim memperoleh 8,327 undi dalam pertandingan tiga penjuru melawan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim (6,144) dan PAS, Muhammad Zulfadli Zainal (4,103) pada pilihan raya umum 2018.
Hari mengundi PRK Slim ditetapkan pada 29 Ogos manakala undi awal pada 25 Ogos.
Terdapat 59 kerusi di DUN Perak, di mana BN memegang 25, Bersatu (lima) dan PAS (tiga). Sementara pembangkang DAP (16), Amanah (lima) dan PKR (tiga). Gerakan dan bebas masing-masing ada satu kerusi. – 15 Ogos, 2020.
Komen