AKTIVITI kempen tidak akan dihadkan kepada 250 orang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ia bergantung kepada saiz lokasi dan sama ada penjarakan sosial boleh dilaksanakan,” kata Timbalan Pesuruhjaya SPR Dr Azmi Sharom kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, SPR akan menguatkuasakan prosedur langkah pencegahan Covid-19 yang dipertingkatkan yang digunakan pada pilihan raya kecil di Chini awal bulan ini.
SPR sebelum ini mengehadkan 100 orang pada pilihan raya Chini namun mengubahkan kepada 250 orang pada pertengahan kempen.
“Langkah pencegahan Covid-19 akan digunakan pada sesi taklimat SPR, penamaan calon, undi awal, hari mengundi dan ketika proses pengiraan undi,” kata Azmi.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Juali lalu di Hospita Bentong, Pahang.
ADUN berusia 59 tahun itu dilaporkan rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong.
Khusairi yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjong Malim, mendapat 8,327 dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim (6,144) dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal (4,103) pada pilihan raya umum 2018.
Hari mengundi bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 29 Ogos manakala hari penamaan calon pada 15 Ogos. Undi awal akan diadakan pada 25 Ogos di Dewan Sri Tanjung, Pejabat Daerah Tanjong Malim.– 23 Julai, 2020.
Komen