Peluang tipis buat Dr Mahathir dan Pejuang di PRK Slim


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menerusi parti baharunya, Pejuang akan bertanding PRK Slim yang akan diadakan pada 29 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

“PARTI Dr Mahathir Mohamad tidak akan dapat undi walaupun 100,” kata Azrai Mohd sambil menghirup kopinya di kedai Kak Sam, petang Khamis lalu.

Beliau antara penduduk kampung yang bersama-sama pelanggan setiap warung itu berkumpul setiap petang untuk mendengar berita dan gosip baru di Felda Gunung Besout 1 di Slim, Perak.

Topik hari ini ialah tentang Dr Mahathir dan parti baharunya “Pejuang” yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim pada 29 Ogos ini.

Sambil mengeluarkan rokok kereteknya, Azrai, 65, berkata beliau secara peribadi tidak ada masalah dengan Dr Mahathir.

“Beliau urus ekonomi dengan sangat baik tetapi tak jaga rakyat,” kata ahli PAS itu.

Azrai, yang popular digelar “raja ayam” kerana menjadi pembekal ayam di lima penempatan Felda di Gunung Besout 1-5, berkata kerajaan baharu tahu bagaimana hendak beri duit.

“Saya tidak dapat duit sebab saya tidak layak tetapi orang lain di sini dapat Bantuan Prihatin dan duit lain,” kata pesara tentera itu.

“Dan bantuan itu sangat memberi makna, dan Dr Mahathir tidak buat begitu.”

Seorang pesara polis yang dikenali sebagai Pak Badul, berkata beliau juga tidak ada masalah dengan Dr Mahathir.

“Tetapi banyak sangat janji tidak ditepati ketika beliau jadi perdana menteri sebelum ini. Hak beliau untuk buat parti baharu, tetapi saya tidak rasa ia berjaya di sini,” kata penduduk Felda itu.

Beliau menyifatkan bekas perdana menteri berusia 95 tahun itu “terlalu kedekut” walaupun anak-anaknya sendiri jutawan.

Ketika diminta membandingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Dr Mahathir, Pak Badul berkata beliau selalu dengar Muhyiddin baca doa untuk negara ini ketika perintah berkurung Covid-19.

Tetapi beliau percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS, banyak membantu untuk menaikkan harga minyak sawit sejak mengambil alih kerajaan pada Mac.

“Harga minyak sawit naik sejak PN ambil alih,” katanya.

Penduduk Felda Gunung Besout 1 di Slim, Azrai Mohd berkumpul bersama penduduk di sebuah warung ketika ditemubual. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Ogos, 2020.

Bagaimanapun, pemerhatian di laman web Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menunjukkan harga minyak mentah sawit tempatan RM3,014 pada Januari, dan kini jatuh RM2,519 pada Julai. Harga minyak mentah paling rendah RM2,074 pada Mei.

Tetapi sama seperti kebanyakan penduduk Felda, Pak Badul percaya kewangannya bertambah baik selepas pengambilalihan kerajaan pada Mac.

Sentimen Pak Badul itu bukan sesuatu yang pelik kerana ramai penduduk Felda turut memberi alasan sama tentang kenapa mereka akan memilih calon BN pada hari mengundi PRK Slim, 29 Ogos ini.

Pendapatnya itu penting kerana lebih separuh pengundi pada pilihan raya umum 2018 di Slim adalah dari tujuh penempatan Felda. Pada 2018, pengundi Felda seramai 57% atau 10,587 daripada jumlah keseluruhan 18,574 pengundi.

Daripada jumlah itu, 51.1% pengundi di Felda memilih BN sementara  29.2% mengundi PAS. Pakatan Harapan menerusi calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim, hanya memperoleh 19.5% undi dari kawasan Felda.

Pada 2018, pengundi berdaftar di Slim terdiri daripada 75% Melayu, Cina (10%) dan India (13%).

Calon BN, Mohd Khusairi Abdul Talib menang PRU pada 2018 dengan 8,327 undi, dengan 65% daripadanya diterima dalam kalangan pengundi Felda.

Di kawasan utara, di Felda Trolak Utara, seorang pesara, Idris Hussein mengeluh sambil melihat hujan lebat.

Beliau tidak gemar dengan apa yang berlaku dalam kalangan ahli politik Malaysia pada masa ini.

“Terlalu ramai lompat parti. Sikit sangat integriti yang tinggal dalam politik,” kata Idris.

“Apa yang Muhyiddin buat pada Dr Mahathir pun tak sedap juga.

“Tetapi kerajaan baharu bagi duit,” katanya.

Penamaan calon PRK Slim akan berlangsung hari ini. BN sudah mengumumkan calonnya – pemangku ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43.

Sementara itu, peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon oleh penyokong Dr Mahathir.

Amir akan bertanding sebagai calon bebas kerana parti baharu Dr Mahathir, Pejuang belum berdaftar.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Khusairi pada 15 Julai. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen