Dasar perindustrian baharu perlu digubal untuk tangani kemiskinan bandar


Sheridan Mahavera

Dasar perindustrian lama menyebabkan penghijrahan massa ke bandar dan perlu diteliti semula bagi menangani kemiskinan bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

DASAR perindustrian semula boleh membantu mengurangkan kemiskinan dengan pembentukan pekerja berkemahiran dan bergaji tinggi, kata sarjana badan pemikir, Research for Social Advancement (REFSA).

Buat masa sekarang, kadar pertumbuhan pekerjaan bergaji tinggi tidak selari dengan perkembangan populasi disebabkan kejatuhan industri bernilai tinggi sejak 1990, kata Felo Pelawat REFSA Hafiz Noor Shams.

Kekurangan pekerjaan bergaji tinggi dalam industri juga menyumbang kepada kadar pengangguran belia Malaysia yang pada 2016 dianggarkan berada pada tahap 10.7%, menurut data dikeluarkan Bank Negara Malaysia.

“Pembuatan bernilai tinggi menguncup berbanding sektor lain seperti peruncitan, restoran dan hotel sejak 1990,” kata Hafiz pada seminar web bertajuk “T20, Kemiskinan Bandar dan Isu Sosio Ekonomi.”

“Pada kemuncak 1990-an, sektor pembuatan mencakupi 25% sehingga 30% ekonomi dan sekarang hanya sekitar 20%,” katanya lagi pada seminar anjuran bersama Refsa dan Institute for R&D of Policy (IRDP), hari ini.

“Pekerjaan berkemahiran tinggi yang membayar gaji tinggi juga tidak berkembang selaras dengan peningkatan populasi. Itu adalah salah satu sebab mengapa kita ada kadar pengangguran belia yang tinggi.”

Pembentukan pekerjaan bergaji tinggi dalam sektor pengeluaran bernilai tinggi tidak selaras dengan peningkatann populasi Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

Dasar perindustrian baharu boleh dilakukan menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesaling Hubungan Negara (NFCP), tambahnya.

Inisiatif untuk meluaskan akses jalur lebar di seluruh negara termasuklah kawasan pendalaman boleh menjadi asas pembentukan pekerjaan bergaji tinggi dan sumber pendapatan baharu.

“Tetapi, masalahnya adalah ini perlukan masa. Awak tak boleh terus harap bentuk 100,000 pekerjaan baharu dalam setahun. Ia sukar dan ambil masa.”

Hafiz juga mencadangkan dasar khusus untuk meningkatkan kualiti hidup dan menangani kemiskinan bandar, memandangkan lebih ramai penduduk Malaysia kini tinggal di bandar berbanding kawasan pendalaman.

Dasar dibuat pada 1990-an untuk menangani isu penghijrahan massa dari pendalaman ke bandar menyebabkan pembentukan kawasan setinggan dan projek perumahan kos rendah yang kini sudah sesak.

“Kita perlu bergerak jauh daripada kawasan sesak perumahan pendapatan rendah ini dan membentuk lebih banyak kawasan hijau,” kata Hafiz lagi.

“Perlu ada dasar untuk menghalang rakyat daripada memiliki terlalu banyak kereta dengan meningkatkan akses kepada pengangkutan awam dan membina lebih banyak laluan pejalan kaki.

“Kita perlu meningkatkan jaringan keselamatan sosial dan memastikan golongan miskin mempunyai suara mencukupi (didengar).” – 6 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen