Kemiskinan makin teruk di Malaysia kerana Covid-19, kata bekas wakil PBB 


Ragananthini Vethasalam

Kadar kemiskinan di negara ini turut meningkat susulan penularan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

MALAYSIA menyaksikan peningkatan kadar kemiskinan berikutan pandemik Covid-19 kerana negara kekurangan jaringan keselamatan sosial komprehensif dan menyatakan sebaliknya berhubung kadar kemiskinan sebenar, kata bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia Philip Alston.

Beliau berkata ramalannya bertepatan dengan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa kadar kemiskinan akan meningkat, dengan pandemik menjadi pemangkin.

Dapatan Alston itu adalah daripada lawatannya ke negara ini tahun lalu, ketika masih bersama PBB yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, Malaysia tidak terkecuali berdepan peningkatan kemiskinan kerana kurangnya jaringan keselamatan sosial.

“Tentunya Malaysia, tanpa jaring keselamatan perlindungan sosial yang nyata, jelas akan melihat lonjakan kadar kemiskinan yang ketara,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam wawancara menerusi Skype sempena pendedahan laporan itu.

Alston, yang mengatakan bahawa Putrajaya menilai angka kemiskinan dengan menggunakan kayu ukur yang lama berkata keadaannya boleh menjadi lebih buruk jika kerajaan tidak mengukur kadar kemiskinan dengan tepat, mendedahkan statistik dan mengakui jumlah sebenar orang yang berada dalam kemiskinan.

Garis kemiskinan Malaysia ditetapkan pada RM980 per isi rumah sebulan, dan bagi keluarga empat orang, ini akan menjadi RM8 (sekitar AS$2) setiap orang sehari.

“Itu tidak mencukupi, sudah pasti tidak di kawasan bandar dan jumlah asas yang diberikan sebagai tambahan kepada jumlah perlindungan asas yang diberikan perlu diperkukuh secara signifikan.”

Walaupun Putrajaya menyediakan pelan rangsangan ekonomi bernilai RM260 bilion untuk mengurangkan impak Covid-19 termasuk pemberian tunai kepada yang memerlukan, Alston berkata ianya tidak mencukupi bagi mereka yang berada dalam kemiskinan.

“Bantuan tunai yang tersedia di Malaysia sangat minimum dan walaupun ia penting, ia bukan pengganti dasar struktur seperti perumahan, yang tidak dapat diselesaikan dengan mendapat sedikit bantuan dari kerajaan.

“Pendidikan yang baik, makanan yang mencukupi untuk orang yang tidak mendapat secukupnya, tidak dapat diselesaikan dengan hanya memberikan bantuan kecil,” kata Alston, sambil menambah harus ada “jaminan minimum” dalam kesejahteraan sosial untuk semua orang yang memerlukan.

Dalam laporannya kepada PBB, Alston tidak bersetuju dengan kadar kemiskinan Malaysia pada 0.4%.

Dalam pernyataan yang dikeluarkan bersama dengan laporan itu, beliau mengatakan Putrajaya perlu mengkaji semula kadar kemiskinan negara untuk menunjukkan gambaran yang lebih inklusif mengenai kelompok terpinggir. Ini termasuk Orang Asli, pendatang, pelarian dan orang tanpa kewarganegaraan, serta orang kelainan upaya.

Lindungi orang miskin, bukan perniagaan besar

Alston yang juga pensyarah di Universiti New York berkata kerajaan perlu memastikan kemakmuran golongan berpendapatan rendah, kerana perbelanjaan golongan ini adalah signifikan dalam merangsang ekonomi.

“Cabaran paling besar adalah untuk memahami pelaburan terbaik dalam tempoh kemelesetan bagi memastikan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah mampu bertahan.

“Jika tidak, akan wujud masalah besar dalam masyarakat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

“Adalah satu kesilapan untuk menganggap bahawa kerana Covid-19, bantuan kerajaan perlu disalurkan kepada golongan kaya untuk melindungi perniagaan. 

“Orang kaya tidak akan melaburkan wang kecuali dalam iklim ekonomi yang baik, tetapi orang miskin akan selalu menghabiskan wang yang mereka miliki dan merangsang ekonomi.”

Bank Dunia (IMF) baru-baru ini mengatakan bahawa koronavirus dapat mendorong antara 70 dan 100 juta terjerumus dalam kemiskinan yang melampau tahun ini ketika ekonomi global mengalami kemelesetan terburuk dalam 80 tahun.

IMF juga memberi amaran pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan memburukkan ketaksamaan, dengan negara-negara berpendapatan rendah akan terjejas teruk. 

Ia turut menyemak unjuran ekonomi global yang dijangka menyusut sebanyak 4,9% berbanding 3%, yang diramalkan pada bulan April. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen