Jangan berharap Perikatan akan iktiraf UEC, kata penganalisis


Bernard Saw

Pengulas politik Cina berkata kerajaan PN mungkin meneruskan dasar kerajaan terdahulu berkaitan isu UEC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

PEMERHATI politik Cina di sini percaya harapan masyarakat kaum itu untuk mendapatkan pengiktirafan bagi Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) daripada kerajaan, hanyalah impian yang sukar digapai.

Walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertemu kepimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) bulan lalu, pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap masalah masyarakat Cina masih belum jelas.

Pengulas politik Cheah See Kian berkata PN mungkin meneruskan dasar kerajaan terdahulu berkaitan perkara itu.

“Saya fikir, untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan berkenaan perkara itu pun bukannya mudah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pertemuan Muhyiddin dengan Huazong itu susulan laporan beritan yang silap mengatakan beliau memberitahu persekutuan itu bahawa Putrajaya akan mengiktiraf UEC.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Huazong menafikan laporan itu, sebaliknya berkata isu UEC akan ditangani dalam perbincangan lanjut berdasarkan kepada dasar kerajaan dan keadaan negara.

PMO juga menjelaskan Muhyiddin tahu UEC mendapat pengiktirafan separa daripada kerajaan di mana sekarang ia menerima pemegang UEC untuk Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), khusus dalam bahasa Cina di institut latihan guru kerajaan.

Masih ada syarat perlu dipenuhi untuk diterima masuk, seperti lulus SPM dan minimum, kredit Bahasa Melayu, selaras dengan Dasar Pendidikan Negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertemu kepimpinan Huazong bulan lalu susulan laporan berita silap mengatakan Putrajaya akan iktiraf UEC. – Gambar Facebook, 4 Ogos, 2020.

Cheah berkata tidak realistik jika mengharapkan pengiktirafan penuh UEC, iaitu peperiksaan yang diambil oleh pelajar di sekolah menengan persendirian Cina.

Ini kerana kerajaan terdahulu, termasuk Pakatan Harapan (PH), tidak pernah mencapai kata sepakat berkenaan isu itu.

“Kalau masa Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri (kerajaan PH) pun susah capai kata sepakat, apa bezanya dengan Muhyiddin,” kata Cheah.

PH dalam manifesto pilihan raya berjanji untuk cuba mendapatkan pengiktirafan rasmi untuk UEC dan menubuhkan pasukan petugas khas mengkaji perkara itu. Jawatankuasa berkenaan belum lagi menghantar laporannya kepada kerajaan PN.

Pengiktirafan kerajaan bagi kelulusan sekolah menengah persendirian Cina itu menjadi masalah besar untuk kaum itu, kerana ia berkait dengan kelayakan mendapatkan kerja dalam sektor perkhidmatan awam atau syarikat berkaitan kerajaan.

Beberapa negeri seperti Melaka, Sabah, Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang menerima pengambilan kerja pemegang sijil UEC.

Cheah berkata kerajaan terdahulu, sama ada Barisan Nasional atau PH, kedua-duanya menggunakan isu UEC untuk mendapatkan sokongan Cina.

Bagaimanapun, ia terbukti menjadi janji yang sukar dipenuhi kerana perlu menyeimbangkan antara tuntutan kaum Cina dan bantahan daripada kumpulan nasionalis Melayu.

“Bila anda dapat pegang kuasa, ia jadi satu proses yang panjang.

“Jawatankuasa khas mengkaji UEC belum menghantar laporan, jadi bagaimana kita boleh katakan kita sudah hampir dapat keputusan,” katanya.

Secara umumnya, kerajaan Muhyiddin nampak seperti “status quo” berhubung pendekatannya terhadap kaum Cina, kata Cheah.

Pensyarah pengajian politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Lau Zhe Wei bagaimanapun berkata kerajaan PN lebih berkeras dalam isu kaum Cina.

Beliau berkata ia dapat dilihat dalam dasarnya berkaitan tembakau, alkohol, judi dan perkara lain yang dianggap sebagai jenayah syariah.

“Sektor ekonomi yang membabitkan elemen ini yang terakhir dibuka semula ketika pandemik Covid-19,” kata Lau, merujuk kepada kelab malam, pusat hiburan dan kasino yang masih tidak boleh beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Lau juga menjangkakan PN akan menaikkan cukai tembakau dan alkohon pada belanjawan akan datang. – 4 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen